Sabtu, 31 Mei 2008

Guru...mengapa harus begitu??

“Seorang pelajar mesti menghormati gurunya,itulah adab sebagai seorang pelajar!” ucap seorang guru pada perhimpunan di pagi hari. Dan ucapan inilah juga sering saya dengar semasa saya masih bersekolah dulu,sehinggalah saya masuk ke universiti sekarang. Namun pengalaman mengajar di sekolah menengah agama banyak menambahkan ilmu saya tentang erti sebuah kehidupan.

Guru yang sering meminta dari memberi

Ya, itulah apa yang saya selalu fikirkan semasa mengajar di sekolah baru-baru ini. Bukan soal apa yang di ajar,bukan soal sudah masuk kelas atau belum,bukan juga soal sudah habis silibus untuk di ajarkan,tetapi sejauh mana guru MEMBERI dengan menghargai dan menghormati pelajr-pelajarnya sehingga pelajar-pelajar pula MEMBERI apa yang guru telah berikan dalam bentuk hormat,percaya dan kasih saying?? Guru-guru hari ini kebanyakkannya lebih banyak MEMINTA agar di hormati berbanding mereka yang mulakan untuk MEMBERI dahulu penghormatan mereka itu.

Bencikan guru

Hari pertama saya mengajar,ada pelajar yang secara terang menyebut kepada saya guru yang mereka tidak sukai,malah mereka terlalu benci dengan guru tersebut lantaran garangnya! Kata-kata mereka ini membuatkan saya berfikir mengapa mereka sanggup berkata begitu sedangkan guru tersebut hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang guru. Saya tidak nafikan kita tidak akan mampu untuk memuaskan hati semua orang kerana hati manusia ini pelbagai rencam dan ragam.

Pemikiran guru yang salah

“budak-budak ni memang begitu,diorang tak sukakan peraturan,tak reti nak hormat guru!”. Kata guru yang di benci oleh sekalian pelajar di sekolah.

“Tapi manusia boleh berubah cikgu” kata saya pula

“nak ubah macam mana lagi,hati dah keras,belajar pun malas,susah!” balas guru tadi kepada saya.

Saya terdiam dan termenung dengan kata-katanya, lama saya berfikir. Dimana silapnya hal ini? Sesi pengajaran saya dengan pelajar-pelajar sekolah terus berjalan. Akhirnya saya temui satu teori saya. Cuba menghormati orang lain dahulu sebelum kita mau di hormati,bukanlah seorang guru andai masuk kelas hanya mahu marah-marah apabila pelajar-pelajar tidak dapat menjawab soalan,atau hanya sekadar menghabiskan silibus semata-mata!

Merangsang pelajar

Berapa ramai guru yang mampu menjadi ikon kepada pelajar-pelajar?berapa ramai juga yang mampu merangsang minat pelajar untuk terus belajar?dan berapa ramai juga guru yang dalam masa yang sama mampu menjadi kawan baik kepada pelajar dan saling menghormati antara satu sama lain? Inilah soalan yang perlu di jawab oleh guru-guru. Tugas guru bukan sekadar mengajar sahaja,tetapi cubalah belajar pula bagaimana untuk menjadi seorang guru yang MEMBERI hormat kepada pelajar-pelajarnya sebelum mereka MINTA di hormati

Selamat hari guru

Busyro

www.drbusyro.blogspot.com

Isnin, 26 Mei 2008

Bila Agama di sangka milik mereka yang hanya belajar agama

Agamawan yang meng ‘sekular’ kan agama

Seringkali apabila kita berbicara tentang sekularisme,kita akan menyebut tentang betapa bangsatnya Mustafa Kemal Attarturk yang mencanangkan konsep sekularisme sebaik sahaja Sultan Abdul Hamid, Khalifah Islam yang terakhir.Namun begitu,bukan Turki sahaja yang sekular,bahkan di negara kita sendiri pun,bahkan sikap sestengah agamawan(baca:Ustaz,Da’ie,Ustazah) yang mensekularkan kita.



Tak percaya?baiklah saya berikan situasi yang pertama:

“Imam,boleh tak kalau kita gantikan kuliah agama ni dengan kuliah kesihatan sekali-sekala,biar ada kelainan sikit”,cadang seorang makmum kepada imam masjid X.”Eh,hang gila ka cakap menda dunia dalam masjid?”,balas sang imam,terkaku para jemaah…

Siapa yang sekular,Imam atau makmum?.

Situasi2:

“eh,apahal ngan mamat tu,sibuk-sibuk je bagi tazkirah,bagi kuliah, dia bukan ustaz pun,kerja kat Telekom je,”Rungut seorang ustaz di surau Y pula.

Ya,inilah situasi yang lazim berlaku di Malaysia.Kita sebenarnya terkadang lebih sekular daripada Turki.Walhal apa salahnya kita mengintegrasikan perkara-perkara ‘dunia’ dalam agama?ALLAH ‘Azza wa Jalla telah mengajarkan kita sedemikian.Tak percaya?Lihat ni:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Allah menyuruh kita ISLAM keseluruhannya,bukan sebahagiannya.Maka siapakah kita nak mengasingkan urusan agama dan urusan dunia?Apakah urusan dunia kita,kita bebas semau kita tanpa perlu akan peraturan dari yang Maha Esa?

Jadi,

Kita mestilah ISLAM dalam urusan kehidupan kita

Kita mestilah ISLAM dalam urusan rumahtangga kita

Kita mestilah ISLAM dalam urusan jual-beli kita

Dan ISLAM dalam seluruh perkara.Jangan hanya melihat agama dari perpekstif yang sempit,akibatnya agama akan jadi milikan eksklusif sesetengah pihak sahaja.Maka:

ISLAM hanya milik Ustaz

ISLAM hanya milik Kiyai

ISLAM hanya milik Ustazah

ISLAM Hanya Milik Da’i

ISLAM bukan untuk selain yang di atas……

Akhirnya penghujung agama kita akan jadi saling tak tumpah seperti agama-agama samawi lain,hanya dimonopoli oleh para Rahib-Rahib,Pendeta-Pendeta dana Rabbi-Rabbi,justeru di mana kesudahannya?Fikir-fikirkan dan selamat bertindak!!!

www.bicaraad-din.blogspot.com

Kenapa Mesti Bersangka buruk??

Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah beristighfar dan taubat. Nabi s.a.w bersabda :-

كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Ertinya : "Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat" (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499, 4/659)



Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Saya sendiri tidak bebas darinya. Namun atas dasar nasihat menasihati saya tuliskan artikel ini agar kita sama-sama mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita akan lebih diredhai oleh Allah.

Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis

ثلاث لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن " . فقال رجل : ما يذهبهن يا رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : " إذا حسدت فاستغفر الله ، وإذا ظننت فلا تحقق ، وإذا تطيرت فامضه

Ertinya : Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"

Jawab Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangak buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya" ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)

Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-

ثلاثة لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع ، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق

Ertinya : Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya; sial menyial, sangak buruk, hasad dengki; maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya" ( Musannaf Abd Razzak : Ibn Hajar : hadis mursal, Albani : Dhoif)

Al-Qaradawi menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya

SANGKA BURUK YANG HARUS

Tidak dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar'. Mudahnya, seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk' apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka akan bersangka buruk ada kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil penumpang atau menurunkan penumpang. Ia jelas sangka buruk yang tidak berdosa.

Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak majikan akan membuat survey rambang dengan menghubungi beberapa orang yang yang mengenali calon, bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan kemampuan dan lain-lain informasi berguna berkaitan calon. Saya masih ingat, saya pernah menerima Curriculum Vitae (CV) sewaktu bertugas di institusi kewangan dahulu, CV calon ini cukup menarik sekali.

Namun mengikut prosedur, sebelum pihak kami memanggil interview, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon untuk mendapatkan komen beliau, akhirnya kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai masalah mental. Kami daptkan komen beberapa orang lagi demi memastikan info yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun info yang sam a diperolehi.

SANGKA BURUK YANG HARAM

Sangka buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya.

Sangka buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.

Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.

JENIS PERTAMA : KERANA ALIRAN POLITIK

Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat.

Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu tindakannya.

Hasilnya, apabila ada saja seorang ahli politik PAS melakukan satu tindakan yang patut dipuji pada zahirnya, akan wujud sebahagian kumpulan dalam UMNO yang mentakwil apa yang tersirat dan tujuan sebenar dari setiap tindakan baik yang dibuat, sehinggalah ia AKAN dilihat jahat dan tidak layak mendapat pujian, penghargaan dan terima kasih. Demikian juga sebaliknya, apa sahaja tindakan politik yang baik dibuat oleh pemimpin UMNO, akan sentiasa dilihat jahat oleh sebahagian pihak pembangkang. Saya tidak kata semua, namun saya kata ada sebahagian mereka.

Sebagai contoh apabila kerajaan Pak Lah mengumumkan pembayaran Ex-Gratia kepada bekas-bekas hakim yang terlibat dalam kes 20 tahun lepas, maka ada yang tetap tidak mahu menghargai tindakan itu lantas berkata :-

"Mengapa baru sekarang? Nampak sangat ia dibuat dengan agenda tertentu"

Individu dalam kategori ini biasanya akan merasakan diri mereka bijak, sukar diperdaya serta mampu melihat dari dimensi yang luar biasa (kononnya).

Namun jika ada pimpinan mereka atau rakan mereka yang melakukan kesilapan yang terang-terang tersalah dan tidak boleh ditakwil lagi, mereka akan bersangka baik pula demi membela segala tindakan tersebut atas dasar maslahat katanya. Bagus, ia memang satu sifat yang baik, tetapi boleh menjadi buruk jika tidak betul cara kendaliannya.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah menjadikan sangka buruk sebagai satu keperluan politik. Tatkala itu, dosa menjadi mainan diri. Sangka baik pula adakalanya digunakan bukan pada tempat yang sepatutnya sehingga menjadikan diri taksub kepada team mereka.

JENIS KEDUA : KERANA ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN

Kali ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain.

Sebagai contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi, Syiah Malaysia, Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan lain-lain. Masing-masing kelihatan suka kalau pihak yang lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.

Tatkala itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan sejahatnya.

Sebagai contoh yang saya kira paling nyata adalah apa yang berlaku kepada S.S Mufti Perlis. Akhir-akhirnya ini S.S Mufti Perlis semakin berterus terang mengkritik beberapa dasar kerajaan yang kurang tepat sebagai contohnya ISA. Akhirnya, pelbagai sangka buruk timbul antaranya,

  • Kononnya ia bersifat demikian hanya selepas pilihnraya 8 Mac, iaitu setelah dilihat kerajaan lemah dan pakatan rakyat kuat, lalu barulah dia bersuara untuk ‘membodek' kerajaan pakatan rakyat untuk melantiknya pula.
  • Kononnya beliau berani kerana ingin memenangi hati pemimpin pakatan rakyat kerana tempoh sebagai mufti di Perlis sudah di penghujung.
  • "Mengapa sekarang baru nak kritik, mengapa tidak dari dulu lagi, nampak sangat ada udang di sebalik batu.?!!" Tempelak mereka.

Dan macam-macam lagi.

Saya kerap dengar komen "mengapa baru sekarang!!?" sebagai hujjah untuk membidas segala kebaikan orang lain. Wajarkah komen sebegini?

Saya dan rakan-rakan pembaca juga tentu ada penglaman masing-masing dalam hal ini.

Bila saya sebut masalah hukum di dalam ASB, Overridding Commission dalam MLM, Pelaburan haram cepat kaya.. muncul orang marah lalu berkata

"Mengapa baru sekarang ustaz sibuk-sibuk, mengapa tak beritahu awal-awal dulu, ni kami dah join lama dan untung ribu-ribu baru nak sibuk kata haram, jangan dengki la ustaz. Mesti sebab ustaz ni ada join skim lain dan sekarang dah rugi kot" Katanya.

Saya menjadi pelik pula. Apa yang perlu dipertikaikan dengan sekarang atau dulu, bukankah kekuatan, hidayah, ilmu dan kemampuan itu baru tiba kini dan bukan dahulu. Justeru apa yang perlu dipertikaikan.?

Bersyukur sahajalah jika ia membawa kebaikan. Sama juga dengan keadaan kesihatan, dulu sihat, sekarang sakit, dulu kanak-kanak sekarang dewasa dan lain-lain. Jadi apakah wajar kita beteriak memarahi virus yang menghinggapi kita lalu berkata

"hei virus, mengapa sekarang mahu kacau, mengapa tidak dulu!!. Lucu juga memikirkannya.

Jawapan mengapa sekarang itu mudah saja, mungkin dahulu belum cukup kajian dan ilmu, sekarang sudah..kerana itu baru bersuara sekarang.

Mungkin dahulu ada gangguan, sekarang sudah berjaya diketepikan lalu kerana itu baru bersuara sekarang.

Dulu, mungkin belum terperasan kesilapan itu, sekarang baru sedar, kerana itu baru tegur.

Justeru, mengapa masih ada juga ingin sangka buruk dalam hal seperti ini?.

JENIS KETIGA : PERTIKAI KEBAIKAN & KEIKHLASAN ORANG LAIN

Jenis yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat sudah mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan kehidupan seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.

Saya masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu (Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini). Ada individu menghantar link satu forum kepada saya, forum itu membicarakan artikel saya yang menyebut hukum skim haram.

Tiba-tiba mucul seorang former yang berkata :"puas aku fikir dan cari di web zaharuddin ini, apakah niat sebenar si zaharuddin ini sibuk-sibuk menulis isu ini dan menyusahkan kitorang, apa yang dia hendak sebenarnya?"

"akhirnya aku jumpa, rupanya dia nak jual vcd dia!!, hem tak respeklah aku"

Begitulah lebih kurang ayatnya, demikian dahsyatnya manusia di zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan dan muslihat di sebalik segala jenis kebaikan, baginya mustahil ada orang sanggup bersusah payah tanpa ganjaran dan agenda DUNIA. Ini bolehlah saya kelaskan sebagai kumpulan orang sangka buruk jenis ketiga yang wujud di dalam masyarakat kita.

Sebagai contoh lain.

Ada yang menghantar sms, email atau melalui system sms 33221 bertanya sambil bersangka buruk berkenaan orang di sekitarnya:-

a- "Ustaz ada dengar tak slot Dr Zainol Hadja pengasas ayam organik di radio ikim. Cara cakapnya macam dia sorang yang halal, dan semua yang tanda halal JAKIM tidak boleh pakai. Apa pandangan ustaz tentang dakwaan Dr Zainol dan perjuangannya memartabatkan makanan yang betul-betul halal kononnya tu?.. boleh caya ke. Nampak macam nak perkayakan diri sendiri jer"

b- "PPIM ni sebenarnya ustaz bukan nak perjuang isu kepenggunaan Islam, mereka nak jual nama persatuan mereka, lepas ni senang nak dapat budjet"

c- "Ustaz ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!", simpul seorang pemerhati jarak jauh. (petikan dari web saifulislam.com)

d- "eleh ustaz-ustaz TV ni, hanya layak mendapat gelaran ‘pelawak' dari penceramah, asyik buat lawak aja. Depa ni sebenarnya sedang jual agamanya untuk popular di televisyen"

e- "Saya benci dengan ustaz yang tak jelas parti apa ni, bagi saya mereka ni munafiq dan hanya pentingkan perut mereka saja, kerana itu tidak berani berterus terang"

f- "Kecewa dengan ustaz. Mengapa ustaz tak aktif lagi dalam perjuangan jemaah Islam, ustaz dah futur dan tergelincir dari perjuangan dakwah ke?" Tanya seorang bersangka buruk kepada saya melalui ruang komentar.

g- Seorang isteri dinasihatkan oleh seorang penulis artikel bahawa : "jika suami anda tiba-tiba baik, spoting, romantik, ketahuilah sebenarnya ia ada benda jahat yang sedang disorokkan"

Banyak lagi contoh-contoh yang tidak larat saya kumpulkan, ia Cuma beberapa contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu. Semua punyai peranannya, samada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka buruuk mereka tidak ikhlas atau punyai agenda lain.

Malah jika mereka memang punyai agenda tetapi agenda yang halal, apa salahnya. Selagi mana zahir tindakan semua mereka tadi adalah baik dan menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.

Allah swt mengingatkan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..." [Surah al-Hujurat, ayat 12]

Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :

الظن ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ

Ertinya : "Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam" ( Tafsir Ar-Razi, 28/115 )

Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi.

Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri.

Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk. Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis sohih berikut :-

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :

"Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi),

Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."

Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata

"Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :

Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".

Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yangtidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"

Baginda membalas :-

إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ

Ertinya : "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :-

إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر

Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )

KESIMPULANNYA

Akhirnya, jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah.

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ

Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ""Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )

Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya.

Namun, apa yang menyedihkan mereka yang kerap bersangka buruk kepada kebaikkan ini suka pula bersangka baik kepada penganjur skim-skim cepat kaya yang tumbuh dengan pelbagai nama dan lesen hari ini. Sepatutnya anda perlu bersangka buruk lebih sedikit dengan skim-skim sebegini. Ia dinamakan berhati-hati yang sebenar.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Untuk Mempelajari Hadith/Sunnah, Anda Perlu....

1- Menghadirkan niat untuk mencari keredhaan Allah SWT. Sentiasa hadirkan di dalam hati sedaya upaya bahawa kita mempelajari al-Sunnah kerana ia adalah sebahagian daripada mempelajari agama Allah SWT dan mengharapkan ganjaran daripadaNya. Bukan kerana anda ingin jadi seseorang yang 'lain' daripada orang lain atau menjadi satu kumpulan yang lebih 'tinggi' daripada masyarakat yang tidak mempelajari sunnah.



2- Memahami bahawa ilmu tentang al-Sunnah adalah terlalu luas. Ia perlukan kepada kesabaran dan kegigihan. Ia juga tidak dapat diperolehi sehari dua malah ia adalah proses berterusan sepanjang hayat. Ia juga perlukan ilmu asas dan persediaan yang kukuh sebelum mampu mengeluarkan pendapat. Semangat semata-mata tidak cukup.

3- Masa yang mencukupi untuk mempelajarinya dengan pelbagai cara. Kesibukan seringkali menjadi penghalang dan menyebabkan peminat-peminat al-Sunnah kecewa kerana tidak dapat menambah ilmunya tentang al-Sunnah. Namun begitu berusahalah untuk mendapatkannya walaupun sedikit asalkan berterusan.

4- Wang untuk membeli buku-buku berkaitan al-Sunnah. Tidak semua maklumat tentang al-Sunnah boleh didapati dengan percuma dan tidak semuanya ada di dalam Internet. Sekiranya diri tidak bersedia untuk memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli buku-buku al-Sunnah, ini sudah pasti merencatkan proses mendalaminya.

5- Memilih waktu yang sesuai untuk mempelajarinya agar tidak cepat letih dan bosan. Ini amat penting kerana ada di antara kita yang tidak memperdulikan keadaan diri sama ada cergas atau tidak ketika mendalami al-Sunnah. Jika kita membaca, pilihlah waktu yang sesuai agar apa yang dibaca dapat difahami dan diingati dengan baik.

6- Memperuntukkan masa untuk menghadiri kuliah-kuliah yang berkaitan. Jika kita tidak mempunyai masa untuk menghadirinya, pastikan kuliah-kuliah yang dirakamkan ada dalam simpanan untuk didengari atau ditonton pada waktu yang mengizinkan. Jangan pula kita memilih untuk hanya menghadiri kuliah orang tertentu sahaja, kerana ilmu itu luas dan para ulama hadith salaf menuntut ilmu daripada beratus malah beribu orang guru, walaupun kadangkala guru mereka mempunyai sedikit kekurangan.

7- Mencari rakan-rakan yang mempunyai minat terhadap al-Sunnah untuk berbincang tentang apa yang telah dipelajari. Ini amat penting kerana tidak mungkin kita dapat mendalami semua aspek tentang al-Sunnah dalam masa yang singkat. Jalan penyelesaian masalah ini adalah dengan berbincang dan bermuzakarah sesama pencinta al-Sunnah agar ilmu yang ada pada diri masing-masing dapat dikongsi. Ia juga dapat mendidik kita dengan sikap merendah diri dan dapat menerima pendapat orang lain. Sikap 'lone ranger' kadangkala membawa kepada 'over confident' yang akhirnya boleh membawa kepada sikap negatif iaitu memandang rendah kepada orang lain.

8- Konsisten atau istiqamah dalam proses mendalami al-Sunnah. Ini bermakna anda tidak perlu terlalu gopoh pada peringkat permulaan kerana sifat sebegini kebiasaannya tidak akan bertahan lama. Apa yang penting ialah istiqamah walaupun sedikit. Contohnya anda boleh membaca beberapa potong hadith pada setiap hujung minggu. Ini lebih baik daripada anda terus membaca berpuluh-puluh hadith kemudian terus meninggalkannya berbulan-bulan. Oleh sebab itu ulama hadith salaf menghabiskan masa berpuluh tahun dalam menuntut ilmu secara konsisten...bandingkan dengan kita di zaman ini yang baru belajar tapi sudah ingin menjadi muhaddith!

9- Mencatat apa sahaja kemusykilan yang terlintas di fikiran agar ia dapat dikaji pada masa yang lain. Mungkin anda sendiri boleh mengkajinya apabila mempunyai masa lapang, atau anda boleh bertanya kepada ahli ilmu tentang kemusykilan tersebut. Sekiranya anda tidak mencatatnya, ia mungkin hilang begitu sahaja dan tidak dapat diselesaikan segera.

10- Mendampingi ahli ilmu yang diharapkan dapat menyelesaikan apa yang tidak kita fahami tentang al-Sunnah. Dengan kemudahan teknologi moden masa kini, jarak tidak lagi menjadi penghalang untuk kita mendampingi mana-mana ahli ilmu.

11- Memilih pasangan hidup yang akan memahami minat kita terhadap al-Sunnah. Namun sekiranya telah berkahwin, cubalah untuk menanamkan minat terhadap al-Sunnah dalam diri pasangan dan juga anak-anak. Lakukanlah sekadar mampu.

12- Jangan gopoh dalam memahami maksud sesuatu hadith. Luaskan pembacaan dan banyakkan perbincangan. Ini penting agar kita tidak tersalah dalam menyatakan sesuatu sebagai ‘sunnah’ sedangkan ia pada hakikatnya tidak sunnah atau sebaliknya. Ia juga boleh mengelakkan kita menyalahkan orang lain atau melabelkan mereka dengan gelaran 'tidak mengikut sunnah' atau 'tidak mengikut dalil', sedangkan pada hakikatnya kita yang tidak faham permasalahan yang sebenar.

13- Bersedia untuk mengubah sikap dan amalan sekiranya apa yang kita lakukan selama ini tidak bertepatan dengan al-Sunnah. Sesungguhnya amalan terhadap al-Sunnah amat perlu bagi menguatkan hubungan kita dengan al-Sunnah. Begitu juga kita bersedia untuk mengubah pendapat kita yang tidak tepat kepada pendapat yang lebih tepat tanpa rasa takabur atau ego.

14- Mencari maklumat tambahan tentang rupa paras dan peribadi Rasulullah SAW agar kita dapat mengenali tuan punya al-Sunnah itu dengan lebih dekat. Buku yang elok dibaca adalah buku al-Syamaail al-Muhammadiyyah karya al-Tirmidzi (279H). Buku ini telah pun diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia dan juga Inggeris.

15- Berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar dipermudahkan proses mendalami al-Sunnah. Kita juga perlu sentiasa berdoa agar dikurniakan rasa minat ke arah menambah ilmu tentang al-Sunnah.

والله أعلم

Ahad, 11 Mei 2008

Nasihat buat umat Islam di Malaysia

Selalu saya melihat apabila sesuatu isu baik yang berkaitan politik,mazhab,parti,jemaah,bangsa...dsb,umat Islam masih dalam belenggu taksub yang mengakibatkan kita tidak bersikap adil.Kita masih dalam kepompong syok sendiri kadang-kala isu itu tidak benar dan keluar dari fakta ilmiah.

Kenapa kita masih menzalimi diri dengan sikap kroni memihak kepada 'keluarga' kita walhal kita tahu ia salah,bagaimana kita hendak menerapkan keadilan dalam masyarakat,sebagai contoh dalam keluarga kita pilih kasih membahagikan kasih sayang antara anak,anak lelaki dilebihkan dari anak perempuan ataupun golongan poligami ia melebihkan isteri muda dari isteri tua,inilah yang berlaku dalam masyarakat kita di Malysia susah berlaku adil terhadap diri sendiri akhirnya masing2 memendam perasaan yang akan meletup seperti gunung berapi yang melahap laharnya.

Bukan susah menilai kebenaran yang penting adil terhadap diri sendiri,disebabkan jiwa lebih 'mengagongkan' politik,keluarga,parti,jemaah...dsb maka kebenaran ditolak,dalam Islam ulama2 mazhab telah menggariskan seperti Imam asySyafii rh berkata 'Setiap hadis sahih itulah mazhabku' kata2 beliau seolah-olah menggalakkan kita mengkaji hadis ataupun membaca kajian2 ulama hadis tentang sahih ataupun daif hadis tersebut,ulama mazhab juga berkata 'Ikutilah ulama hadis agar tidak sesat' Lebih kurang maksudnya begitu,ia juga kiasan agar mengikut ulama seperti Imam Bukhari dan Muslim membaca syarah2 kitab Sahih Bukhari dan Muslim ataupun mengikuti ulama hadis duhulu dan sekarang,namun disebabkan sikap ketidakadilan kita,kita lebih 'mengagungkan' parti,mazhab,jemaah,bangsa...dsb,Inilah sikap kita bagaimana kita hendak menegakkan keadilan dalam masyarakat,berlaku adil walalupun terkena pada 'keluarga kita',tak kira dari mana asalmu,jemaah mana,parti mana...dsb.

Kerosakkan yang ketara ialah perpecahan dalam masyarakat umat Islam,umat Islam juga termasuk puak sekular,syiah,muktazilah,Islam Liberal,khawarij,murjiah...dsb,walaupun mereka sesat namun mereka bersyahadah Islam,cuma jalan sahaja yang tak betul dan perlu diperbetulkan agar selari dengan al-Quran dan sunnah Nabi saw...ia mudah dilakukan kecuali jika ada sikap taksub yang pilih kasih akan membebankan pengislahan terhadap diri sendiri dan masyarakat.

oleh: amjad (www.al-ahkam.net)

Sabtu, 10 Mei 2008

13 Mei: MENUJU KEMATANGAN BANGSA MALAYSIA

Hidup dalam kelompok masyarakat yang berbilang bangsa dan agama merupakan suatu cabaran dalaman yang terbesar dan perlu dihadapi dengan sikap yang matang dan profesional. Kini, sudah lebih dari 50 tahun rakyat Malaysia menikmati hidup dengan aman dan makmur walaupun ada ketika rakyat berbilang bangsa ini pernah bercakaran dalam menuntut keadilan bangsa masing-masing.



Alasan yang paling umum yang mampu diberikan adalah, masyarakat pada zaman awal kemerdekaan rata-rata kurang berpendidikan atas faktor sosial dan juga ekonomi menyebabkan masing-masing mengambil tindakan yang boleh dianggap kurang bijak pada kini. Peristiwa hitam yang berlaku ini banyak mematangkan rakyat dan menjadikan rakyat semakin bijak apabila berhadapan dengan situasi seumpama ini. rakyat kini lebih selesa untuk memilih meja rundingan sebagai medan penyelesaian dan menganggap keganasan bukan jalan penyelesaian terbaik.

Dalam berhadapan dengan situasi baru dunia politik di Malaysia ini, terdengar suara-suara yang kembali mengingatkan kita kepada peristiwa 13 mei apabila kerapkali isu berbentuk sentimen perkauman dilauangkan dimedia arus perdana. Hal ini merupakan sesuatu yang tidak sihat dan mencerminkan sifat politik “budak-budak” yang mana tidak mengambarkan sikap matang kita sebagai sebuah masyarakat yang menuju kepada pembentukan Negara maju. Isu ketuanan melayu begitu kerap dimainkan oleh sesetengah pihak yang mana telah menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pemimpin bukan Melayu sehingga Datuk Ong Tee Keat menimbulkan persoalan adakah ayat ketuanan ini mengambarkan bangsa Melayu sebagai tuan dan bangsa bukan Melayu lain sebagai hamba? (The Star, 9 Mei 2008)Ada juga pihak yang cuba menghidupkan api kemarahan bangsa melayu dengan bermain isu Melayu sudah kehilangan kuasa. Isu ini merupakan antara isu yang kerapkali dimainkan dimedia arus perdana sehingga boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja isu berbentuk sentimen perkauman didada-dada akhbar. Apakah motif utama pihak yang seringkali memainkan isu ini? Apakah ada kebenaran dari sudut fakta terhadap segala isu yang dimainkan ini?

Sikap negatif yang mungkin amat sukar untuk dikikis pada setiap pecahan bangsa di Malaysia adalah sikap bersangka buruk terhadap bangsa lain. Bangsa melayu melihat bangsa lain di Malaysia sebagai ancaman terutama dari sudut ekonomi, manakala bangsa Cina melihat bangsa Melayu sebagai penindas kerana memiliki segala kelebihan. Sikap negatif ini sudah ditanam sejak kecil oleh keluarga dan juga masyarakat setempat. Hal ini tidak hanya terjadi pada masyarakat umum, tetapi juga pada golongan cerdik pandai walau bukan pada keseluruhannya. Dalam sesetengah situasi, ada benarnya telahan buruk ini. Namun secara realitinya, ia tidak mengambarkan keseluruhan sistem masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Saya merasakan, masalah yang berlaku ini bukan kerana kegagalan sistem masyarakat secara keseluruhan, tetapi kegagalan sistem penyampaian dan pelaksana bagi setiap hak bangsa-bangsa tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak adil dan buruk sangka terhadap bangsa lain.

Pembentukan tamadun sebagai mana yang sering diperkatakan oleh pihak pemerintah amat berkait rapat dengan pembentukan masyarakat yang matang. Sarjana Islam, Sayyid Qutb menyatakan tamadun sebagai segala bentuk kemajuan politik yang dihasilkan oleh satu masyarakat seperti sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah SWT. Pembentukan tamadun amat menitik beratkan kematangan masyarakat agar mampu mendokong segala ciri-ciri seperti mana yang telah dinyatakan. Peristiwa 13 Mei telah mengajar bangsa Malaysia tentang kematangan dari sudut berfikir tentang keganasan bukan jalan penyelesaian, namun kematangan itu belum cukup sempurna jika masih ada sikap negatif seperti memperbesarkan isu-isu berbentuk provokatif, mengamalkan politik “budak-budak” dan bersangka buruk terhadap bangsa lain. Setiap bangsa seharusnya memainkan peranan dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang matang dan kematangan itu semestinya dicorak dengan nilai-nilai islam yang sememangnya sesuai dilaksanakan tanpa mengira bangsa dan juga agama.

Oleh: Ajim

Ahad, 4 Mei 2008

Jawapan ringkas mengenai hukum "kempen jimat dan senang kira" oleh Kerajaan


Salam, saya ingin bertanyakan berkenaan kempen kerajaan jimat dan senang kira. Ia berkenaan pembundaran kepada 5sen dan 10 sen terdekat. Apa hukumnya dalam muamalat Islam?

jawapan secara ringkas:
Dari sudut fiqh mualamat , ia adalah harus dan halal jika kedua-dua pihak redha.. berdasarkan hadis : almuslimun ala syurtuhim ..."

Artis Malaysia sudah berani "pijak kepala"!!


Pembukaan AIM15 yg dipersembahkan oleh FT telah diulas oleh pengacara majlis tersebut sebagai pengenalan bagi yang tidak mengenali FT (MB perlis mengakui dalam akhbar beliau tidak mengenali FT) dilihat sebagai menyindir MB perlis dan berpanjangan hingga ke akhir.



Sikap yang ditonjolkan itu amat mengejutkan bila artis sudah berani mengkritik secara sindiran secara terbuka dan siaran lansung TV terhadap pihak berkuasa agama dan pemimpin rasmi negeri... Adakah permulaan kepada sesuatu yang amat membimbangkan pemimpin politik dan agama negara ini?

Mereka dengan mudah diperlekeh sebegitu? tindakan kita selanjut perlulah bijak dan tepat pada sasaran! semoga negeri yang bertunjangkan Islam sebagai agama rasmi bukan sekadar retorik... wallahu a'lam

rujukan : www.al-ahkam.net

Sabtu, 3 Mei 2008

3 Petua tambah rezeki

Oleh Pahrol Mohd Juoi
Diambil dari fitrahperkasa.net

1. Luaskan…
“Bagaimana nak tambah rezki?”
“Kenapa? Rezki sempit ke?”
“Pendapatan bertambah tapi tanggungan juga bertambah.”
“Kira oklah tu. Sama-sama bertambah.”
“Mana oknya? Kadar pertambahan tanggungan lebih tinggi daripada pendapatan. Anak-anak semua dah besar. Biaya pelajaran tak macam kita dulu, sekarang semuanya meningkat.”
Saya diam. Mengiya dalam diri. Ini realiti.



“Awak macam steady sahaja. Hai, ada apa-apa jalan untuk tambah rezki.”
“Ada,” jawab saya pendek.
“Saya dah agak. Tentu awak ada jawapannya. Tapi macam selalunya… saya tahu benar perangai awak.”
Saya senyum. Dia sahabat rapat saya. Dia sedia maklum, saya bukan ahli ekonomi atau pakar multi level yang punya perancangan perniagaan yang hebat. Saya cuma pendakwah.
“Nak dengar tak?” jolok saya.

“Oklah, kepala awak memang lain. Tapi bagus juga. Pandangan-pandangan awak sebelum ni banyak juga yang saya pakai. Baiklah macam mana nak tambah rezki?” ulangnya sekali lagi.
“Luaskan pengertian kita tentang rezki!” jawab saya pendek.
“Macam mana tu?”
“Apa yang awak selalu ertikan dengan rezki? Makan, wang… betul tak?”
Dia mengangguk.

“Sebenarnya rezki bukan hanya itu. Pengertian rezki luas. Bukan setakat makan dan wang sahaja. Kesihatan juga rezki, begitu juga dengan ilmu, iman, kemampuan beribadah, keamanan, anak-anak, penglihatan, pendengaran… wah macam-macam lagi.”
“Ya tak ya juga ya…”
“Memang ya. Bila pengertian kita tentang rezki luas, maka rezki kita pun luas. Kalau kita ertikan rezki itu sempit, maka sempitlah rezki kita…”
“Selama ni tak terfikir pula yang macam tu.”
“Ingat selalu: Kita ialah apa yang kita fikirkan. Sekurang-kurangnya bila kita fikir macam tu, hati kita akan lapang. Dengan hati lapang ikita boleh hidup tenang walaupun belum hidup senang…”
2. Berikan…
Perbualan kami sementara menunggu komuter diteruskan.
“Ada lagi cara nak tambah rezki?” Fokus perbualannya masih pada tajuk awal.”
“Beri rezki yang ada kepada orang lain,” jawab saya.
“Errr…”
“Ingat, rezki bukan hanya wang, bukan hanya harta.”
“Maksud awak?”
“Rezki yang nak diberikan tidak terbatas pada wang sahaja. Jika itulah maksudnya, memang payahlah kita nak memberi. Hanya sikaya sahaja mampu melakukannya.
“Betul. Rezki dalam bentuk yang lain masih banyak,” ujarnya.
“Kan kita masih mampu tersenyum, jadi berilah senyuman. Kita masih mampu berkata-kata, jadi ucapkanlah sesuatu yang baik dan mengembirakan. Atau setidak-tidaknya kita masih punya hati… bersangka baik dan berdoalah untuk orang lain dengan hati itu.”

“Alhamdulillah, kalau kita terima konsep rezki macam ni kita bukan hanya punya hati yang lapang, tapi juga punya hati yang dermawan.”
“Bukankah ada hadis yang mengatakan Allah sayang kepada orang yang pemurah, tetapi Allah lebih sayang kepada simiskin yang pemurah,” tambah saya.
“Maksudnya, simiskin yang masih mampu memberi… “
“Oleh hatinya pemurah dan fikirannya yang luas tentang rezki!”
“Kemampuan memberi itu bukan terletak pada ada atau tiada tetapi ia soal sikap. Dalam hidup ini, pernah saya temui orang miskin yang lebih pemurah berbanding dengan sikaya.

“Tapi bagaimana memberi boleh menambah rezki? Bukankah memberi itu mengurangkan?”
“Siapa pemberi rezki?”
“Allah, Allah yang Ar Razak,” jawabnya.
“Bila Allah perintahkan, tentu ada hikmah-Nya. Untuk memberi kita mesti terlebih dahulu memiliki. Dan untuk memiliki kita mesti mencari. Mencari, memiliki dan kemudian memberi… begitu turutannya.”
“Saya masih tak nampak!” akuinya terus terang.

“Saya pernah temui seorang ahli perniagaan yang sangat berjaya. Bila saya tanya apakah motivasi awalnya semasa memulakan perniagaan, dia menjawab, nak bayar zakat. Itu dorongan nak memberi… Jadi dia berniaga sungguh-sungguh. Dia mencari. Hasilnya, dia untung. Dia memiliki. Kemudian dia layak mengeluarkan zakat. Dia memberi… Dorongan memberi telah membambahkan hartanya! ”
“Tapi saya bukan ahli perniagaan. Mana nak beri harta…” guraunya.
“Berikan senyuman. Niatkan nak menggembirakan orang lain, nanti kita gembira. Seperti memberikan harta untuk menambah kekurangan orang lain, nanti harta kita bertambah.”

3. Syukurkan...
“Cukuplah kita cerita tentang harta dan senyuman… Kita alih topik lain.”
“Tidak, saya masih suka topik ni. Tapi nak kaitkan semua ni dengan iman, dengan Islam… itu rezki yang lebih besar.”
“Nikmat yang tiada taranya.”
“ Kita kena syukur… Alhamdulillah.”
“Itu baru syukur dengan lidah. Mari kita syukur juga dengan anggota dan hati.”

“Maksudnya?”
“Syukur dengan hati ertinya kita rasakan bahawa iman dan Islam itu kurnia daripada Allah. Segalanya hidayah Allah. Hidayah itu ertinya ‘hadiah’… Allah beri hadiah tanpa apa-apa jasa malah tanpa kita minta pun,” tambah saya.
“Menjaga, menghargai hadiah tu tanda syukur kepada Pemberinya.”
“Jika kita persiakan, buat tak endah, tak menghargai kerana tak terasa ‘harganya’ mungkin Pemberinya ambil balik. Berikan kepada orang lain,” ujarnya.
Ambil balik? Murtad? Saya diam. Gerun. Apakah ini yang sedang berlaku kepada bangsa saya (Melayu)?

“Syukur dengan anggota?” tanyanya mengejutkan saya.
“Gunakan nikmat selaras dengan tujuan pengurniaanya. Kenapa Allah berikan iman dan Islam? Untuk beri keamanan, keselamatan, kebahagiaan dan ketenangan pada kehidupan dunia dan akhirat kita. Jadi, ambillah iman dan Islam selaras dengan maksud ia dikurniakan. Itulah panduan. Itulah jalan. Itulah tanda syukur.”
“Bila syukur, Allah tambah. Tambah tenang. Tambah aman.”
“Bila kufur, Allah azab. Makin kacau. Makin derita.”

“Kenapa sukar nak syukur dengan iman dan Islam.”
“Pertama, sebab tak nampak iman dan Islam itu berharga. Macam tak nampak itu nikmat. Itu rezki. Kecur air liur kita nampak tawaran kereta, rumah mewah, pertunjukan pentas, tapi dengan iman… dengan solat, puasa, nasihat, tak terasa apa-apa.”
“Kedua, dah nampak iman berharga tapi tak mahu bersusah-susah kerananya. Kan setiap yang berharga itu ada maharnya? Macamlah, ramai yang nak kaya tapi malas berusaha. Begitu juga ramai yang nak tingkatkan iman tapi enggan bersusah-susah kerananya!”