Ahad, 5 April 2009

Sedikit pesanan buat pelabur-pelabur saham amanah

”akak rasa nak keluarkanlah pelaburan saham amanah akak tu....” ujar seorang teman rapat di sebuah bank.

”mengapa?” soal saya semula.

”sebab sekarang saham tengah rugi,sebelum lagi parah,baik akak keluarkan cepat-cepat” jelas sahabat saya ini.



Saya tersenyum mendengar pendapat sahabat saya ini. Ketika dalam kegawatan ekonomi hari ini,ramai yang takut untuk membuat pelaburan,tidak kurang juga ada yang mengeluarkan semua wang pelaburannya dengan alasan takut rugi. Maklumlah dengan keadaan ekonomi yang serba gawat ini,segala-galanya mesti di belanja dengan baik. Silap perbelanjaan dan pelaburan akan mengakibatkan penyesalan.

Tetapi,dalam analisa yang di buat,Malaysia adalah negara yang paling kurang kerugian berbanding negara-negara jiran. Jika anda mempunyai saham amanah (unit trust) yang melabur di pasaran Malaysia, cuba bandingkan prestasinya dengan penanda aras (benchmark index), sekiranya pelaburan anda rugi ( memang rugi jika melabur pada tahun 2007/2008) melebihi kerugian pasaran kita, jadi pengurus dana tidak berjaya mengatasi prestasi indeks penanda aras. Dalam erti kata yang lain,gagal kad laporan pengurusan dananya. Lihat juga portfolio saham amanah anda,iaitu dimanakah wang kita dilaburkan(pastikan semua saham adalah islamik,tiada unsur riba dan lain-lain aktiviti yang jelas haram).



Analisis pasaran saham

Dalam analisa yang dibuat oleh Dr. Mark Mobius, Pengurus Dana Templeton Asset Management, salah satu pengurus dana terkenal didunia, beliau mendapati MSCI Emerging Market Index (indeks bursa di rantau kita) turun secara keseluruhan sebanyak 53 peratus pada 2008 selepas meningkat sebanyak 400 peratus dalam tempoh lima tahun ke belakang. Pada pengamatan beliau, pasaran ”bull” (pasaran naik/untung) secara sejarah bertahan lebih lama berbanding pasaran ’bear’ (pasaran merundum/rugi). Kadar peningkatan pasaran ’bull’ juga lebih tinggi berbanding kadar kejatuhan pasaran ’bear’.

Sejak tahun 1987, terdapat sembilan ’bull’ dan sembilan pasaran ’bear’. Malah, jangka masa pasaran ’bear’ secara purata adalah selama enam bulan berbanding pasaran ’bull’ selama 22 bulan. Kadar penurunan pasaran ’bear’ pula adalah 32 peratus berbanding kadar kenaikan pasaran ’bull’ sebanyak 113 peratus. Pasaran ’bear’ pada tahun 1997 berpunca daripada Asia manakala pasaran ’bear’ sekarang puncanya daripada Amerika Syarikat.


”insyallah,saya berpendapat yang pasaran saham kita akan kembali pulih pada lewat tahun ini hingga ke tahun 2010.” kata Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir dari Hijrah Wealth Management.


Bersabar

Dengan adanya kerajaan seluruh dunia yang memberi sokongan untuk memulihkan ekonomi masing-masing dengan pengumuman ’pakej stimulus ekonomi’ sebanyak USD 1 trillion(dengan niat untuk merangsang dan menyuntik aktiviti-aktiviti ekonomi walaupun keadaan sangat lembab), insyallah..pasaran saham akan pulih.


Buat pelabur-pelabur yang melabur dalam produk saham amanah,bersabarlah seketika dengan kerugian yang dialami dalam pelaburan ini, ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Insyirah ayat 5-6 yang bermaksud:


”Kerana Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, (sekali lagi ditegaskan)Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”



Pelaburan dalam saham amanah adalah bersifat jangka masa panjang, jadi jika terjadi kejatuhan sementara ini,kita tidak usah melatah dan mengeluarkan pelaburan kerana ia akan membuatkan kita mengalami kerugian yang sebenar. Buat masa sekarang,kita anggap kerugian ini di atas kertas sahaja (paper loss/unrealised loss). Sabar dan teruskan melabur secara konsisten untuk mempuratakan unit pegangan anda. Ada di antara saham amanah memberi dividen dalam bentuk unit percuma, jadi walaupun kesuluruhan nilai telah berkurangan, jumlah unit amanah kita telah beranak. Kita tunggukan kemunculan ’bull’ bersama-sama dengan izin ALLAH!

busyro
5 April 2009
www.drbusyro.blogspot.com