
Bismillahirrohmanirrohim
Apa yang saya ingin tulis di sini ialah komen saya terhadap reaksi adik angkat saya berkenaan isu hadith al-Musalsal bi al-Musafahah berjabat tangan yang di bawa oleh Ustaz Nuruddin al-Banjari yang mana beliau menyetujui Ust Nuruddin,dengan membawakan kepada saya video penjelasan Ustaz Nuruddin berkenaan isu hadith al-Musalsal bi al-Musafahah tersebut. Sebelum itu,saya ingin tegaskan di sini khususnya kepada adik saya ini,kita sepatutnya menilai dengan ilmu,jauh dari sentimen fanatik kepada mana-mana individu. Inilah sikap yang sepatutnya subur di kalangan penuntut yang cintakan al-Quran dan al-Sunnah.
Isu hadith al-Musalsal bi al-Musafahah yang dibawa oleh Ustaz Nuruddin, beliau telah meriwayatkan hadith tersebut dalam bentuk melakukan atau mencontohkan perbuatan yang kononnya dilakukan oleh Nabi saw kepada orang ramai. Lalu di akhir hadith tersebut ada jaminan syurga bagi orang yang mencontohinya, dengan lagak kononnya seolah-olah semua perbuatan dan perkataan itu dilakukan oleh Nabi saw, tanpa langsung mengambil pusing tentang pengthabitan hadith tersebut samaada ia benar dari Nabi saw atau sebaliknya. Sekali lagi saya nyatakan INILAH ISU YANG UTAMA.
Sanad-Sanad Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah
Kesemua sanad hadith al-Musalsal bi al-Musafahah yang termuat di dalam buku ustaz Nuruddin al-Banjari yang beliau gunakan ketika menyampaikan hadith ini tidak menaikkan sama sekali darjat hadith tersebut. Walaupun beliau mendatangkan dalam bentuk riwayat yang berbagai, bersama dengan tahwilnya (huruf ح yang ada di dalam sanad menunjukkan al-Tahwil, secara mudah ia menunjukkan periwayatan pada rawi tersebut terpecah kepada dua).
Ini kerana semua sanad tersebut datangnya dari individu atau rawi yang satu, iaitu yang telah dituduh oleh para ulama hadith sebagai dusta, pembohong, dajjal dan seumpamanya. Rawi tersebut ialah al-Mu'ammar. Rawi atau periwayat yang bernama Mu'ammar inilah yang mendakwa dia telah bersalam dan mengambil hadith tersebut dari Nabi saw. Saya tegaskan sekali lagi bahawasanya banyaknya rantaian sanad tidak dapat mengangkat darjat sesuatu hadith, jika semua sanad tersebut datang dari seorang rawi atau periwayat yang di tuduh dusta. Ini suatu yang diketahui oleh semua yang mempelajari hadith.
Kedudukan Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah
Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah adalah hadith yang batil (باطلة), dusta (كاذبة), tidak ada asal baginya dan tidak pernah wujud.Demikianlah hukuman yang diberikan oleh para ulama hadith seperti al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani, al-Imam al-Suyuti dan lain-lain. Yang lebih menarik lagi hadith ini dipalsukan juga oleh al-Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah yang bukanlah dari aliran salafi, tetapi beraqidah dengan aqidah Asya'irah, dan seringkali tidak sependapat dengan al-Syeikh Nasiruddin al-Albani. Orang seperti al-Syeikh 'Abd al-Fatah ini sendiri menghukumkan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah sebagai batil, dusta, tidak ada asal baginya dan tidak pernah wujud dalam tahkikya bagi kitab Zafar al-Amani (ظفر الأماني). Bahkan beliau menyambung :
“Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan (hadith ini) ke atas Nabi saw tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya”. (m.s. 273, cetakan: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah, Damsyik).
Lihat pula perkataan al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani di dalam al-Isabah ketika mengomentari salah seorang perawi bernama al-Mu'ammar atau al-Ma'mar yang ada di dalam sanad hadith al-Musalsal bi al-Musafahah tersebut :
"al-Mu'ammar adalah peribadi yang direka oleh para pendusta." (jilid 6, m.s. 368, cetakan: Dar al-Jail, Beirut).
Dalam Lisan al-Mizan al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani menyebut :
”Riwayat berjabat tangan Mu`ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (jilid 6, m.s. 68, cetakan:Muassasah al-`Ilm li al-Matbu`at, Beirut).
Al-Imam al-Sayuti pula di dalam fatwanya bila ditanya mengenai hadith Mu`ammar, beliau berkata:
“Mu`ammar adalah pendusta lagi dajjal, hadithnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya. Sesiapa yang melakukan demikian (meriwayat hadith palsu tersebut) termasuk dalam sabda Nabi saw: “sesiapa berdusta ke atasku maka siap tempat duduknya dalam neraka”. (lihat: Tahqiq Zafar al-Amani, m.s.275).
Apakah yang hendak dikatakan oleh orang-orang yang masih mengamalkan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah ini ? bukankah meriwayatkan hadith yang palsu tanpa menjelaskan kepalsuannya adalah satu kesalahan yang besar ? orang tersebut telah meriwayatkan sesuatu yang kononnya dari Nabi saw sedangkan Baginda tidak menyebut dan melakukannya. Ini bermakna dia telah menjual nama Nabi saw secara dusta.
Al-Imam Ibn al-Salah berkata : “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya”. (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98).
Demikianlah juga yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam muqaddimah syarah sahih Muslim :
"Diharamkan juga meriwayatkan hadith yang palsu bagi sesiapa yang mengetahui kepalsuan hadith tersebut, atau sangkaanya yang banyak mengakui kepalsuan hadith tersebut. Maka sesiapa yang meriwayatkan satu hadith dalam keadaan dia mengetahui atau sangkaan banyakknya mengatakan yang hadith itu palsu, sebaliknya dia tidak menjelaskan kepalsuan hadith tersebut ketika meriwayatkannya, maka orang sebegini termasuk dalam ancaman (pengharam dan neraka) ini. Dia termasuk dalam kumpulan orang yang berbohong atas nama Nabi saw. Ini berdasarkan hadith (yang bermaksud) : "Sesiapa yang menyampaikan satu hadith daripada ku, dalam keadaan dia melihat hadith itu adalah tidak benar, (tapi dia sampaikan juga) maka dia termasuk salah seorang daripada pembohong." (sila lihat muqaddimah syarah sahih muslim)
Perbuatan berbohong atas nama Nabi saw atau meriwayatkan sesuatu yang didustakan atas Baginda memberi kesan yang sangat buruk. Perkataan Nabi saw adalah suatu yang berharga. ALLAH swt memberi jaminan akan harga dan nilainya yang tinggi di dalam firmanNYA :
وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى [3] إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى [4]
Maksudnya : "Dan tidaklah (Muhammad) itu memperkatakan menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri"[3] "Sesungguhnya semua yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."[4] (al-Najm : 3-4)
Taksub
Sebahagian orang berasa hebat dan kagum apabila mendapati ustaz yang menyampaikan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah ini mempunyai sanad yang bersambung terus sampai kepada Nabi saw. Mereka seolah-olah terpukau dengan sanad yang berlarutan hingga ke hari ini. Sehingga ada pula yang berkata : "Hampa tidak tahu kah ustaz itu ada sanad yang bersambung sampai kepada Nabi saw? Hampa ada ke sanad yang bersambung seperti dia !!!?
Pertama, yang ingin kita jelaskan kepada orang sebegini bahawasanya peranan sanad telah terhenti setakat para ulama yang menghimpunkan hadith seperti al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa-ie, Abu Daud, Ibn Majah dan seangkatan dengan mereka. Adapun nama-nama selepas daripada mereka, yang berlarutan hingga ke hari ini, tidak ada langsung nilai harganya untuk membuktikan kesahihah sesuatu hadith. Kethiqahan mereka dalam meriwayatkan hadith tidak ada sesiapa dapat buktikan. Nama-nama mereka tidak pernah langsung melalui kritikan para ulama Nuqad al-Hadith sehingga boleh dibuktikan hadith yang dibawa mereka boleh diterima ataupun tidak.
Disamping itu sanad yang bersambung semata-mata tidak dapat membuktikan kesahihan sesuatu hadith tersebut. Sebaliknya sanad tersebut perlu memenuhi syarat yang lain seperti semua rawinya mestilah adil dan dobith, tanpa ada syaz demikian juga illah. Hadith-hadith yang Lemah, Mungkar dan Palsu juga ada bersamanya sanad, namun ia tidak memenuhi syarat-syarat sanad yang sahih. Apabila sesuatu sanad hadith tidak memenuhi syarat sahih, maka para ulama akan menghukumkan sanad tersebut sebagai sanad yang lemah, palsu, padanya ada pembohong dan seumpamanya. Ringkasnya sanad semata-mata tidak dapat membuktikan kesahihan sesuatu hadith, kerana tidak dapat dibuktikan benarkah dakwaan orang terakhir yang membawa sanad itu yang ia mengambil cerita tersebut dari orang sebelumnya, dan orang sebelumnya mengambil dari orang sebelumnya hinggalah ke akhir sanad. Apatah lagi sanad hadith al-Musalsal berjabat tangan ini sudah dinyatakan oleh para ulama hadith sebagai sanad yang batil dan dusta.
Semua manusia samaada dia seorang yang alim atau jahil tidak sunyi dari ketergelinciran.Mereka semua tidak maksum Kitalah para penuntut ilmu antara yang berperanan mengingatkan mereka. Bukan megamalkan sikap ta'asub menuruti apa sahaja yang mereka lakukan walau sudah jelas kesilapanya. wallahu'alam
Busyro lil'alamin
9 februari 2008
http://drbusyro.blogspot.com