Selasa, 22 Julai 2008

Kemudi Jiwa- memberi maaf kepada diri dan orang lain agar mendapat tenang


“saya rasa menyesal sangat!” kata seorang wanita kepada saya
“saya rasa saya ni terlalu hina,kotor dan jijik” beliau meneruskan bicaranya tanpa dipaksa.

Inilah antara masalah yang jiwa yang sering dihadapi kebanyakkan orang. Rasa kesal yang tiada noktahnya jika tidak diubati segera. Betapa sukar sekalipun, kita wajib memaafkan. Kemaafan itu akan memberi ketenangan buat hati kita sendiri. Kemarahan dan kebencian kepada diri atau kepada orang lain akan hanya menyeksakan lagi diri kita. Ia hanya akan mengundang hasad,dendam dan iri hati – ia sudah cukup menjadi ‘bom jangka’ yang menunggu saat dalam diri kita.

Kata ahli psikologi, bila kita ‘memaafkan’ barulah kita bebas dari belenggu individu,peristiwa dan keadaan yang kita bencikan. Untuk mendapat ketenangan dalam hidup,berilah kemaafan. Selagi belum memaafkan,selagi itulah apa yang kita benci itu melekat pada diri dan hati kita. Memaafkan adalah amalan orang-orang yang soleh. Kita tentu ingin menjadi orang yang soleh,bukan?

Bermulalah dengan sesuatu yang mudah,memaafkan diri kita terlebih dulu,kemudian dengan yang paling dekat dengan kita iaitu ahli keluarga kita sendiri. Memafkan suami,isteri,anak,ayah dan ibu. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi tidak bahagia. Bahagia itu bukan dengan mendapat,tetapi dengan memberi-berilah kemaafan.

Terkadang ada orang yang terlalu sukar memaafkan,walaupun dirinya sendiri. mereka sentiasa kesal dan kecewa atas kesalahan,kekurangan dan kelemahan diri. Mereka bencikan diri sendiri. Mereka ini jarang tenang. Hidup dalam kebencian, kesepian, murung dan bosan. Mereka yang sentiasa hidup dalam ketegangan sentiasa terdedah kepada sakit jantung!

Penyakit jiwa ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil,antibody ataupun vaksin tetapi oleh sifat memaafkan orang lain. Kata Plato “kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubati tubah badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Insyallah sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati, penyakit lahiriah akan dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya?kita sendiri. Apa penawarnya? Sikap pemaaf.

Kata ahli psikologi, William James, “ tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita,tetapi sistem saraf kita tidak.” Maksudnya, sistem saraf kita sentiasa mengikut apa yang kita rasa, marah,gembira,sedih,gembira atau ketegangan. Benarlah maksud sabda Rasulullah, matilah kamu dengan marahmu!

Busyrolil’alamin
2.18 am
21 julai 2008
"satu rasa dua hati"

Musafir kasih


Epilog

Musafir kasih

Bukan aku tak sayang
Juga bukan kerana tak rindu
Bahkan hati ini…
Detiknya hanya itu
Cinta sayang padamu!

Namun bagaimana ingin aku nyatakan
Ribut pergolakan,kabut persimpangan
Aku sedang memperbaiki diri
Aku sedang mencari erti…
Yang berulang datang
Dan pergi

Berilah aku masa sendirian
Untuk mula mencatur perhitungan
Satu, dua, tiga…
Dalam terang dan kelam
Dalam diam dan jeritan

Aku kembara kian penat
Hulurkan izin untuk aku berehat
Kepada segala yang hamper
Izinkan aku musafir…kali terakhir
Jauhku untuk mendekat!


"satu rasa dua hati-Pahrol Juoi"

Sabtu, 19 Julai 2008

renungan mengenai kepimpinan dalam berdakwah...bagus artikel ni utk di baca

CHIN PENG , TUN MAHATHIR, SITI NURHALIZA, ASHAARI MUHAMMAD, HIDEO NOMO, MAWI, HASAN AL-BANNA, TIGER WOODS, BILL GATES, SAID HAWWA, SIMON COWELL, ABU HAMID AL-GHAZZALI, IBN TAIMIYAH, STEPHEN COVEY, TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ, CALVIN COOLIDGE

Jika saya tanya, apakah yang menjadi asas saya mengumpulkan nama-nama di atas di dalam satu himpunan, tentu ada yang berubah wajah. Mungkin ada yang merah padam wajahnya apabila nama seorang alim, saya kumpulkan sekali dengan nama seorang artis.



Mungkin ada di antara mereka ini yang anda tidak pernah mendengar namanya. Ada juga yang diketahui semua. Tetapi kembali kepada soalan saya tadi, apakah yang anda nampak di sebalik semua nama ini?

Mereka adalah manusia yang BERPENGARUH.

Setiap manusia ada pengaruh. Pengaruh itu bermaksud, dirinya berhubung dengan seseorang dan hubungan itu memberi bekas. Ada yang memberi pengaruh positif, ada yang memberi pengaruh negatif. Tetapi jika kita mahu perlakuan dan perkataan kita memberi impak kepada orang lain, ia mesti datang dengan pengaruh.

Soal PENGARUH inilah yang sukar untuk dilihat kepentingannya oleh kita, dalam konteks kehidupan yang luas ini.

KEPIMPINAN DAN PENGARUH

Saya pinjam huraian yang dibuat oleh John C. Maxwell di dalam bukunya Becoming A Person of Influence. Apa yang dipaparkan ini adalah berkaitan dengan soal kepimpinan. Kepimpinan adalah salah satu cara mengaplikasikan pengaruh.



Kepimpinan yang paling lemah, adalah kepimpinan yang bergantung kepada kuasa dan jawatan.

Ada kedudukan, ada jawatan baru boleh memimpin. Ini adalah pemimpin yang paling lemah. Seorang pemimpin yang seperti ini sentiasa berada di dalam keadaan tidak tenteram dan tidak selamat. Beliau akan menggunakan sepenuh keupayaan yang ada untuk mempertahankan kedudukannya, lebih daripada usaha membangunkan dirinya sebagai seorang pemimpin.

Kepimpinan yang bergantung kepada jawatan dan kedudukan ini, boleh melanda kepimpinan semuda kepimpinan di sekolah, sampailah kepada kepimpinan di sebuah kerajaan dan negara.

KEPIMPINAN DI SEKOLAH

Kalau di sekolah, andaikata pelajar dilatih memimpin hanya dengan jawatan, mereka akan hanya mampu mempimpin andaikata diberikan kuasa, jawatan dan kedudukan. Apabila mereka ini dilepaskan ke tempat yang memerlukan mereka untuk bangun sendiri, memimpin persekitaran dan membentuk pergerakan, mereka gagal.

Ini adalah di antara punca mengapa ada pelajar yang cemerlang dalam kepimpinan di sekolahnya, apabila masuk ke universiti, gagal berperanan. Pelajar sekolah agama yang disegani (sebenarnya mungkin digeruni kerana kuasanya), mungkin gagal berbuat apa-apa, jika dia menyambung pengajian ke sebuah universiti yang tiada persatuan Islam, tiada platform, dan tiada siapa yang membekalkan kuasa.

Jika ke Mesir yang ada persatuan seperti PMRAM, mungkin kelangsungan kepimpinan boleh diteruskan. Bagaimana pula jika pelajar ini dihantar ke bandar-bandar terpencil di Kiev Ukraine, Moscow, Wellington, atau Durham dan Swansea?



Ini antara analisa saya terhadap kegagalan sesetengah pelajar sekolah agama berperanan di kampus-kampus negara Barat. Apabila latar belakang mereka diselidik, mereka datang dari sekolah-sekolah agama yang bagus, malah mereka adalah di antara pemimpin pelajar yang terkenal semasa di sekolah.

Tetapi kenapa gagal berperanan semasa di kampus? Bukan sahaja gagal memimpin, malah ramai juga yang ‘pencen awal’ dari identiti agama.

Antara faktor yang saya kenal pasti, adalah pendekatan Tarbiyah mereka semasa di sekolah. Badan-badan agama yang diberikan otoriti oleh pihak sekolah, atau diwarisi turun temurun, berperanan sebagai ‘cemeti’ melaksanakan dakwah di sekolah. Tetapi jika kepimpinan terlalu bergantung kepada kuasa dan kedudukan, mereka gagal memimpin di dalam dunia sebenar, yang melihat aspek yang lebih penting iaitu PENGARUH!

Malah, di kampus juga, kekalahan kumpulan dakwah akan melenyapkan figura-figuranya daripada terus berfungsi di dalam masyarakat, kerana kebergantungan mereka kepada kuasa untuk melaksanakan dakwah. Mereka terlupa kaedah membangunkan Islam, berbekalkan pengaruh dan kualiti diri, yang wujud pada diri Muhammad SAW tatkala baginda belum menjadi Rasul di Mekah.

Hal yang sama teraplikasi di dalam sebuah organisasi perniagaan. Amat rumit jika ketua sebuah jabatan, adalah seorang yang hanya ada jawatan dan kedudukan tetapi tiada pengaruh. Beliau akan memaksa jawatan dan kedudukannya di’sedari’ oleh pekerja, dari semasa ke semasa, demi memastikan arahannya berjaya dipatuhi. Tetapi di dalam mesyuarat, kata-katanya bukanlah yang membentuk keputusan. Mungkin dengan kuasanya keputusan boleh dipaksakan ke atas mesyuarat, namun ia tidak menyerap ke hati dan persetujuan ahli. Tiada kesungguhan anak buah untuk melaksanakan arahan, kerana arahan itu datang dengan paksaan, tanpa penerimaan.

Itulah impak kuasa tanpa pengaruh!

PERINGKAT KEPIMPINAN



Kepimpinan lazim bermula dengan kedudukan dan jawatan (POSITION). Jawatan dan kuasa, adalah lesen yang memudahkan laluan seseorang berperanan. Akan tetapi, lesen itu hanya pengiktirafan kepada kualiti asasnya sebagai ketua dan pemimpin. Justeru ia mestilah ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi. Apabila seorang ketua berjaya memperlihatkan bibit-bibit kewibawaan pada dirinya, maka pengikut akan mula membenarkan diri mereka dipimpin dan diterajui oleh ketua tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan tahap PERMISSION.

Di sini, mungkin pengikut akan membenarkan seorang ketua melaksanakan lebih dari skop kerjanya semata-mata. Pengikutnya akan bertanya lebih dari soal kerja, meminta pandangan tentang satu dua masalah peribadi, dan membolehkan kumpulan atau organisasi tersebut maju setahap lagi ke peringkat PRODUCTION.

Kerjasama yang meningkat di antara seorang pemimpin dengan mereka yang dipimpin, akan membolehkan mereka bersinergi. Dengan cara ini, hasil kerja mereka akan jadi lebih PRODUKTIF.

Dalam suasana yang seperti ini, seorang pemimpin itu mungkin selesa bekerja dengan pengikutnya. Tetapi kehilangannya mungkin tidaklah begitu dirasakan. Mengeluh sehari, dan cepat mencari pengganti. Mungkin ramai ADUN yang menerima nasib begini. Kubur masih merah, orang dah berpesta mencari pengganti.

Tetapi jika seorang pemimpin yang sudah elok bergaul dengan pengikutnya, berjaya memberikan impak dan mengubah kehidupan pengikutnya kepada yang lebih baik, maka kepimpinannya sudah naik ke tahap yang keempat iaitu PEOPLE DEVELOPMENT. Pemimpin di tahap ini akan membantu pengikutnya membangunkan potensi diri.

Akan tetapi, seorang pemimpin yang benar-benar cemerlang adalah pemimpin yang berjaya sampai ke peringkat kelima. Kepimpinannya bukan hanya memberikan kesan kepada soal taraf kehidupan pengikut, atau kejayaan karier mereka, malah berjaya membentuk pengikutnya menjadi insan yang cemerlang, hasil pengaruh dirinya sendiri ke atas mereka yang dipimpin (PERSONHOOD). Ia sukar untuk dicapai, kecuali selepas seseorang itu menghabiskan seluruh umurnya untuk membangunkan manusia mencapai potensi terbaik mereka.



Inilah ukuran yang mendorong Michael H. Hart meletakkan Nabi Muhammad S.A.W di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, mengalahkan Isaac Newton dan Jesus Christ sendiri. Bukunya The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History, memperkatakan soal PENGARUH, dan faktor inilah yang menjadikan kehidupan seseorang itu sangat signifikan kepada manusia yang lain.

Baginda S.A.W. adalah insan yang berpengaruh, sebelum baginda diberi Kenabian, sebelum beroleh kuasa dan kerajaan. Pengaruh baginda S.A.W. adalah pada kualiti dirinya. Kualiti Al-Amin, kualiti integriti dan kualiti kompetensi.

SIRAH PENGARUH DAN KUASA

Lihat sahaja sirah Baginda SAW semasa di Mekah. Ketika kabilah-kabilah Arab berbalah tentang kelayakan untuk meletakkan kembali Hajar al-Aswad ke Kaabah, mereka akhirnya mencari seorang anak muda yang tidak berjawatan KETUA PEMUDA, tetapi PEMUDA yang berkualiti KETUA, iaitu Muhammad SAW. Biar pun tanpa jawatan dan kedudukan, pengaruh Baginda sudah sedia terserlah, dek kualiti yang ada pada dirinya.

Malah Muhammad SAW yang tidak berjawatan itu, menggelisahkan seluruh pembesar Mekah yang ada jawatan dan kuasa. Kepimpinan dengan pengaruh hasil kualiti, mengancam seluruh jawatan dan kuasa yang cuba dipertahankan tanpa kualiti kepimpinan.

Kerana itu, Madinah terus memacu kejayaan, apabila kepimpinan Rasulullah SAW yang berteraskan pengaruh itu, dilengkapkan dengan kuasa dan kedudukan!

Untuk memimpin dengan pengaruh, seseorang itu akan menumpukan perhatian kepada membangunkan kualiti dirinya sebagai aset terbesar dalam kepimpinannya. Dia akan terus menjadi pusat, sama ada dengan jawatan, atau tanpa jawatan. Jatuh naiknya kepimpinan beliau tidak bergantung pada kemenangan pertandingan dan kekuatan lobi orang lain untuk dirinya. Pengaruh bukanlah sesuatu yang dicari. Apabila kualiti diri dibangunkan, pengaruh datang sendiri.

“PENGARUH BUKANLAH SESUATU YANG DICARI. APABILA KUALITI DIRI DIBANGUNKAN, PENGARUH DATANG SENDIRI”

Ciri-ciri inilah yang mesti dibangunkan oleh setiap kita sebagai seorang individu Muslim yang cemerlang.

PENGARUH IBU BAPA

Tentu sahaja malang bagi seorang ibu atau bapa, jika beliau memimpin keluarga tanpa pengaruh. Saingan terbesar bagi pengaruh seorang ibu dan bapa terhadap anak-anak adalah kawan-kawan mereka. Kawan-kawan anak yang memberikan lebih banyak masa berbanding ibu bapa kepada si anak. Kawan-kawan lebih banyak berhubung dengan anak-anak berbanding ibu bapa.


Ketam mengajar anak berjalan lurus!

Ibu bapa mesti berfikir bagaimanakah caranya untuk diri mereka terus berpengaruh dalam kehidupan anak-anak, khususnya remaja? Dalam suasana kehidupan hari ini, herdik dan takut menakutkan, bukan lagi senjata yang berkesan untuk ibu bapa mengawal anak-anak. Apatah lagi jika sikit-sikit mengugut “anak durhaka”!

“Aku ni ayah kamu. Kamu kena dengar cakap aku!”, kata-kata ini adalah biasa. Namun jika sering diulang, ia petanda bagi kepimpinan yang lemah oleh seorang ayah. Beliau memerlukan ‘jawatan’ dan ‘kuasa’nya sebagai seorang bapa, disebut-sebut agar si anak boleh mematuhi arahan. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika kuasa itu didesak-desak dalam keadaan si ayah tiada kualiti yang boleh menyerlahkan pengaruh kepada anak, justeru tiada rasa hormat yang dapat diterbitkan.

Anda boleh memilih… mahu menjadi ayah yang berkuasa, atau ayah yang berpengaruh.

Jika mahu menjadi ayah yang berkuasa, teruskanlah mempromosikan kuasa anda itu. Tetapi jika anda mahu menjadi ayah yang berpengaruh, teruskanlah berusaha membangunkan potensi diri, kerana pengaruh itu terbit dari kualiti dan kelayakan!

PENGARUH DAN PENDAKWAH

Tetapi soal pengaruh di sini, paling penting untuk difikirkan oleh para pendakwah. Apakah anda bergantung kepada status, gelaran dan jawatan, institusi dan aliran untuk mengawal masyarakat? Jika anda malas membina pengaruh, meningkatkan kualiti diri, dan berhubung dengan manusia pada akal dan hati mereka, maka adalah pemimpin yang paling lemah.


Calvin Coolidge (1872 -1933)

Saya tertarik dengan kisah bagaimana seorang tetamu telah bermalam di White House di zaman Presiden Calvin Coolidge (1872 - 1933). Semasa bersarapan pagi, tetamu tersebut tidak menjamah makanan sehinggalah ia dimulakan oleh Presiden. Beliau memerhatikan terlebih dahulu bagaimanakah Coolidge bersarapan supaya dapat menonjolkan imej yang baik sesuai dengan gaya Presiden.

Mula-mula cawan Presiden diisi dengan kopi. Beliau kemudiannya menuangkan sedikit daripada kopi itu ke dalam piring. Kopi di dalam piring itu dicampur dengan sedikit gula dan krim.

Oleh kerana tetamu tadi tidak mahu melanggar apa-apa etika, beliau melakukan perkara yang sama. Selepas selesai membancuh kopi di dalam piring beliau menanti apakah tindakan Presiden berikutnya.

Alangkah terkejut dan tergamamnya beliau apabila Presiden Calvin Coolidge telah meletakkan piring itu di atas lantai untuk dijamah oleh si kucing! Tiada keterangan yang menjelaskan apakah yang dilakukan seterusnya oleh tetamu tersebut.


Presiden yang pendiam. Memerintah dengan aksi!

Itu kisah di Amerika.

ASHAARI MUHAMMAD

Saya teringat kepada perbualan saya bersama-sama dengan bekas pengikut al-Arqam tentang ciri-ciri kepimpinan Ashaari Muhammad mereka.

Antara kisah yang ingat ialah, apabila Ashaari Muhammad berceramah, ia akan dirakam dengan video. Selepas ceramah, Ashaari Muhammad dan rakan-rakannya akan menonton video tersebut yang banyak memfokuskan kepada penonton. Mata-mata yang terbeliak, mulut yang terlopong, adalah tanda-tanda yang menunjukkan seseorang itu berpotensi untuk diajak menjadi pengikut. Individu yang sedemikian rupa akan disiasat latar belakangnya, dan dicari alamatnya.

Lalu Ashaari Muhammad dan pengikutnya akan ke rumah lelaki tersebut. Bayangkan sahaja betapa berbesar hatinya seorang yang sedang sarat dengan kekaguman diziarah oleh tokoh yang dikaguminya. Ashaari Muhammad akan bertanya khabar, dan kemudian meminta izin untuk berehat seketika dengan tidur di atas lantai beralaskan bantal sofa lelaki tersebut.

Allah, cair hati tuan rumah. Lepas tu, minta apa pun diberi Insya Allah.

Saya tidak bermaksud mahu menganalisa Ashaari Muhammad dan gerakannya di sini, namun sikap beliau sangat mempengaruhi pengikut. Jika nyamuk gigit pun, Ashaari Muhammad hanya meniup dan tidak menamparnya. Ketika makan bertalam, Ashaari Muhammad akan mengambil tulang lebihan mereka yang makan setalam dengannya, dan akan dijamahnya sisa-sisa daging yang masih terlekat sehingga habis licin.

Gaya kepimpinan begini, sangat mempengaruhi. Apa yang beliau lakukan? Beliau berhubung dengan pengikutnya. Bukan hanya hubungan logik akal, tetapi hubungan hati, hubungan emosi.

Kepimpinan yang begitu berpengaruhi, akan mengenepikan soal keputusan akal terhadap benar atau batilnya agenda yang dibawa. Jika perjuangan yang batil boleh begitu berkesan hasil pengaruh, malang sekali perjuangan yang benar hanya kalah kerana sentiasa bergantung kepada kuasa, iaitu selemah-lemah kepimpinan.

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT



Inilah watak yang juga saya kesan pada peribadi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa saya pergi menziarahinya seawal tahun 1992. Ketika tiba di kediaman beliau, Tuan Guru baru sahaja turun dari bumbung rumah, membetulkan atap yang rosak. Ketika ditanya, bagaimanakah ayah beliau mendidiknya, Tuan Guru memberitahu bahawa mancis api sebatang pun, dibelah dua untuk mengajar anak berjimat cermat.

Sungguh mengujakan saya.

Tidak hairan, beliau disegani oleh kawan dan lawan. Anda boleh berbalas hujah dengan pendebat dan pemidato, tetapi tiada siapa yang mampu menewaskan akhlaq dan pengaruh.

Tanpa perlu temu janji, seorang pelajar lepasan SPM seperti saya dapat bertemu dengan seorang tokoh sepertinya. Tokoh yang berpengaruh, menjadikan setiap manusia yang berhubung dengannya, terasa istimewa. Beliau melakukan MODELLING, MOTIVATING, MENTORING dan mudah-mudahan pengaruh Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya menghasilkan MULTIPLYING.

Ramai yang sedang menanti.


Mereka yang berpengaruh, mereka itulah yang menguasai. Mereka yang berkuasa, belum tentu berjaya mempengaruhi.

Jangan marah, jika artis lebih popular. Manusia dan kepimpinan …. adalah soal PENGARUH.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Khamis, 10 Julai 2008

Sebaran

Rabu, 9 Julai 2008

Kesan Buruk Apabila Kaum Wanita Mula Menguasai IPTA

Berhubung dengan berita kebanjiran kaum hawa yang menguasai IPTA beberapa hari yang lepas, saya ingin memetik kata-kata Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya malamih al-mujtama' al-muslim allazi nansyuduhu (Terjemahan: Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan, Penerbitan Seribu Dinar) di dalam isu apabila wanita mula mengambil pekerjaan lelaki.

Sebelum itu mungkin ada yang tertanya-tanya, apa kaitan kebanjiran wanita di IPTA dengan akibat buruk apabila banyaknya wanita yang mula bekerja? Jawapannya kerana kos yang terlalu tinggi untuk belajar di IPTA biasanya akan memaksa graduan wanita untuk terpaksa bekerja demi membayar hutang semasa belajar dahulu, paling tidak pun - mereka tentu sahaja akan berasa rugi untuk tidak bekerja kerana sudah menghabiskan waktu yang begitu panjang semasa belajar di IPTA.

Sifir mudahnya, kebanjiran kaum wanita yang menguasai IPTA pasti akan mengundang kebanjiran yang sama kaum itu menguasai bidang-bidang kerja kelak.

Mengulas hal ini, Dr Yusof al-Qaradhawi telah memetik sebuah artikel tulisan Anne Rode di dalam bukunya yang telah saya sebutkan tadi,

Adalah sangat memalukan bagi negara Inggeris yang telah menjadikan gadis-gadisnya sebagai kekotoran lantaran terlalu bergaul dengan lelaki. Kenapakah kita tidak berusaha untuk menjadikan anak-anak gadis bekerja dengan kerja-kerja yang sesuai dengan tabiat semulajadinya seperti mengurus rumah dan meninggalkan kerja-kerja lelaki untuk kaum lelaki untuk menjamin kehormatan wanita.

Di tempat lain pula beliau menulis,

* Realitinya, kebanyakan wanita yang bekerja menggunakan khidmat wanita-wanita lain untuk bekerja sebagai pengasuh anak-anak mereka atau menguruskan rumah mereka. Ini bermakna rumah, memerlukan kepada seorang wanita untuk menguruskannya. wanita yang paling baik untuk tugas ini ialah suri serta ratunya berbanding dengan wanita luar yang kebanyakannya tidak diketahui asal-usul, akhlak, pegangan agama, bahasa, pemikiran dan adatnya.
* Wanita yang bekerja mudah menjadi lesu badannya, panas baran dan ia sendiri memerlukan orang lain untuk menenangkannya.


Seterusnya beliau di dalam membincangkan akan bahaya di sebalik kecenderungan wanita melakukan pekerjaan lelaki telah menulis,

Kesibukan wanita melakukan kerja-kerja lelaki serta menggemarinya tanpa batasan akan memberikan kemudharatan dari pelbagai aspek:

(saya hanya ambil beberapa sahaja daripada buku tersebut)

* Memberi kemudharatan kepada wanita itu sendiri: Kerana ia akan kehilangan kewanitaannya serta keistimewaannya, malah rumah serta anak-anaknya akan terabai.
* Memudharatkan anak-anak: kasih sayang, hati dan perhatian seorang ibu tidak akan dapat diganti dengan orang gaji atau pengasuh. Bagaimana mungkin anak-anak akan memperolehinya dari seorang ibu yang menghabiskan waktu siangnya di tempat kerja, sementara apabila dia pulang, dalam keadaan keletihan, kelesuan dan ketegangan. Keadaan fizikal dan psikologinya tidak mengizinkannya untuk memberi didikan yang baik terhadap anak-anaknya.
* Memudharatkan kaum lelaki: Kerana apabila semua wanita bekerja mereka akan mengambil peluang kerja kaum lelaki. Apabila terdapat pengangguran di kalangan kaum lelaki di dalam sesebuah masyarakat, wanita yang bekerja akan lebih memudharatkan mereka.
* Memudharatkan pekerjaan itu sendiri: Kerana wanita banyak bercuti disebabkan halangan-halangan semulajadi yang tidak dapat dielakkan seperti haid, hamil, melahirkan serta menyusukan anak dan seumpamanya. Ini akan menganggu jadual pekerjaan dan produktiviti.
* Memudharatkan akhlak: Sama ada akhlak wanita apabila hilang sifat malunya, akhlak lelaki apabila hilangnya keghairahan lelaki, akhlak generasi akan datang apabila hilangnya didikan semasa kecil malah akhlak masyarakat keseluruhannya apabila mengumpul harta dan menambahkan pendapatan menjadi matlamat utama.


Walaubagaimanapun Dr Yusof al-Qaradhawi juga telah menggariskan panduan di mana wanita harus malah wajib bekerja. Saya juga tidak menafikan kepentingan Doktor Wanita, Pakar Sakit Puan, Jururawat, Guru, dan mana-mana bidang kerja di mana boleh memberikan maslahah kepada kaum wanita amnya. Cuma seharusnya skop pembelajaran dan kerja wanita itu tertumpu kepada bidang yang perlu sahajalah, dan tidak perlu dilebarkan kepada bidang kejuruteraan, komputer, petro-kimia dan lain-lain yang akhirnya akan mengorbankan nilai kewanitaan seperti yang telah disebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradhawi sebelum ini. Saya menyeru, janganlah golongan Muslimat terikut-ikut jejak kumpulan pejuang hak wanita yang membelakangkan agama serta nilai fitrah semula jadi wanita.

Akhirnya sebagai renungan, adakah kita harus bangga dengan kebanjiran wanita di IPTA mengatasi kaum lelaki sekiranya kita tahu akibatnya pada masyarakat nanti adalah sangat buruk? Nilailah dengan akal yang sihat dan hati yang tenang dan bukannya dengan emosi.

Wallahu-a'lam.

oleh-http://ibnhussin.wordpress.com

Sabtu, 5 Julai 2008

Generasi yang kian kurang peduli......


*Adakah kita sedang menyaksikan kemunculan satu generasi yang tidak kisah..halal atau haram..dosa atau pahala...TIDAK PEDULI SOAL AGAMA?

*Bagi yang pernah menemuinya, pasti mereka akan bersetuju wujudnya segolongan begini..

- Saya tidak mahu meletakkan manusia muslim/muslimah ke tahap malaikat...tapi adakah kita perlu jadi setahap syaitan?

- Saya tidak mahu menolak kemungkinan muslim/muslimah itu melakukan dosa...tapi adakah dengan langsung tidak terusik atau tersentuh di hatinya bahawa dia berdosa?

- Saya tidak mahu menafikan peluang 'taubat' yang dikurniakan Allah SWT untuk orang-orang yang pernah berdosa...tapi adakah dengan menjadikan taubat sekadar mainan?

Kita tahu bahawa setiap manusia melakukan kesilapan dan dosa...

Tapi pilihlah:

A - Manusia berdosa yang sedar dirinya berdosa dan ingin berubah...
B - Manusia berdosa yang langsung tak peduli dosa atau pahala...lantaklah?

Semoga saya, anda dan mereka membuat pilhan yang tepat...

Merasa bersalah dalam melakukan dosa adalah tanda anda beriman! Sebaliknya tidak merasa bersalah dalam melakukan dosa pula adalah tanda....?


oleh ust alitantawi http://www.alitantawi.blogspot.com/

Antara Orang Agama dan Orang Beragama -oleh Ust Hasrizal

“Abah tak paksa. Terpulang kepada kamu. Cuma dulu arwah Tok ada pesan, keluarga kita keluarga ulama. Kalau boleh biarlah ada anaknya yang mengikut jejak. Tak dapat anak, cucu pun Alhamdulillah”, itu sisa-sisa memori saya tentang dialog bersama abah lebih 20 tahun yang lalu.

Dialog itu mengisi perbualan kami semasa abah menghantar saya ke peperiksaan kemasukan MRSM di Sek. Cator Avenue.

Saya termenung.

Biar pun latar belakang kehidupan saya semasa kecil, tidaklah terlalu berhias dengan agama, namun kecenderungan itu terjadi sendiri. Bermula dengan aktiviti mewakili sekolah di dalam pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan minat yang mendalam kepada subjek agama di sekolah rendah yang tidak seberapa itu.

Lalu dilorongkan Allah, semua tawaran menyambung pengajian yang saya terima semasa melangkah ke alam sekolah menengah, terdiri daripada sekolah agama belaka. SMKA Sultan Azlan Shah, SMAP Labu Negeri Sembilan, SMA Idrisiah Kuala Kangsar dan SMA Izzuddin Shah Ipoh. Atas sebab yang pelbagai, SMA Izzuddin Shah jua yang dipilih. Saya mensyukurinya.

Tidak perlu menunggu lama, semenjak di minggu orientasi lagi, saya sudah mengalami keributan jiwa. Seakan-akan lahir semula, perasaan beragama jadi begitu mendalam. Sering sahaja mata basah dengan air mata mengenang kehidupan, dan mula belajar mengikat serban. Saya suka ke depan, dan kini saya bertemu dengan sebab yang lebih tulen untuk ke depan. Kerana agama.

SIMPANG KEHIDUPAN

Panjang likunya.

Keputusan peperiksaan yang baik di simpang SRP, SPM dan semasa temuduga biasiswa, akan mencabar nekad diri untuk menjadi ‘orang agama’. Tatkala dibentangkan dengan pelbagai peluang dan ruang untuk memilih jalan yang lain, saya terus dilorongkan dan melorongkan diri hingga akhirnya sampai ke tempat saya bakal diacu menjadi ‘orang agama’.

1993 saya tiba di Jordan.

“Kenapa ambil bidang agama? Kenapa tidak buat ekonomi?”, tanya bapa saudara saya.

Terkejut dengan pilihan yang saya buat.

Saya hanya tersenyum. Tidak berkata-kata. Malah harus kuat semangat untuk melawan persepsi yang bertentangan.

KEJUTAN

Keberadaan saya di gelanggang ilmu selama bermastautin di Jordan banyak likunya. Saya tersepit di antara pengajian yang saya sendiri pilih, dengan kegagalan mencari kepuasan di dalam apa yang saya lakukan. Entah di mana silapnya, serba serbi jadi tidak kena. Minat kepada subjek-subjek Syariah tidak hilang, tetapi keghairahannya berpindah, tumpah ke bidang Sejarah.

Apabila direnung-renungkan balik, syukurlah bidang itu bidang yang saya pilih. Bukan sesuatu yang dipaksakan ke atas saya. Tatkala dihinggap kejemuan, teringat kembali kepada segala peluang lain yang dilepaskan untuk INI. Bukan saya sendirian, malah rakan-rakan yang lain juga.

Dalam komuniti pelajar agama’, pelbagai kerenah dan insiden yang berlaku. Bukan sedikit nanah yang membusung. Semuanya mencetuskan jatuh bangunnya maruah pelajar Malaysia di rantau orang. Apatah lagi pelajar agama. Tatkala puncanya cuba dikesan, bertemu kita dengan beberapa peringatan.

Antara yang paling utama, jangan sesekali berjuang dalam paksaan. Ibu bapa, paksalah anak belajar dan faham agama, tetapi jangan dipaksa anak itu menjadi ‘orang agama’. Ilmu agama itu perlu untuk bekalan diri, tetapi memaksa anak menjadi ‘orang agama’ tanpa kerelaan hati si anak, bukan sahaja merosakkan dirinya, malah anak itu ada upaya pula merosakkan orang lain.

Ayah dan ibu manakah yang tidak mahu melihat anaknya mendalam pengetahuan dan penghayatannya terhadap agama? Segala kepedihan, cabaran dan pengorbanan selama membesarkan anak, terasa berbaloi dan berbayar kembali tatkala si anak merendangkan seisi keluarga di bawah teduhan agama.

Bacaan al-Qurannya…

Kepimpinannya di dalam solat…

Penghargaan yang diterimanya dari masyarakat…

Itulah anak soleh juga solehah, yang bakal mendoakan si ayah dan ibu tatkala berangkat pergi, di suatu hari nanti.

Impian itu diterjemahkan di dalam keinginan ibu bapa melihat anaknya memilih bidang agama. Mungkin manifestasi awalnya ialah pada memasukkan si anak ke sekolah Tahfiz. Mungkin dimasukkan ke sekolah agama. Atau apa-apa platform ke arah menjadikan anak itu beragama.

Tetapi ada kalanya ibu bapa keliru di antara menjadikan si anak beragama dengan menjadikannya orang agama. Apa yang dihajatkan oleh seorang ibu dan seorang bapa itu hakikatnya sudah sempurna tercapai apabila si anak menjadi manusia beragama. Tidak semestinya hingga jadi orang agama.

Sedangkan usaha menjadikan anak sebagai orang agama, adalah sesuatu yang mesti dinilai dan dipertimbangkan dari banyak sudut.

MINAT DAN KECENDERUNGAN

Pertama, apakah si anak itu ada minat dan kecenderungan?

Pengalaman saya di sekolah agama, dan kemudiannya pergi bermusafir di negara Arab dan menuntut di fakulti agama, memperlihatkan banyak ’sampel’ yang sulit, antaranya berpunca daripada anak yang dipaksa ibu bapa melakukan sesuatu yang anak itu langsung tidak minat. Hidup bertahun dalam jiwa yang memberontak, bukanlah sesuatu yang sihat.

Sama sahaja dengan bidang-bidang yang lain. Ibu bapa yang menentukan destinasi kerjaya anak-anak mungkin berhasil dalam keluarga tertentu, tetapi ia adalah suatu penderitaan dan beban yang besar bagi kebanyakan.

Minat anak-anak berkembang dan bercambah hasil interaksi dirinya dengan persekitaran, semenjak kecil. Tidak semestinya anak seorang doktor akan terpengaruh untuk turut sama menjadi seorang doktor suatu hari ini. Ia bergantung kepada cara si anak diperkenalkan dengan kerjaya ibu atau bapanya yang doktor itu, serta bagaimanakah beliau menafsirkannya.

Mungkin si anak kagum dengan kerjaya kedoktoran orang tuanya, mungkin sahaja si anak membenci kerjaya itu, kalau tak kena gaya. Atau mungkin sahaja si anak tidak menunjukkan rasa benci atau suka, sebaliknya cenderung sahaja kepada minat-minat yang lain.

Maka, memaksakan kerjaya tertentu kepada anak, bukanlah suatu pendekatan yang mudah. Ia terlalu subjektif untuk saya katakan positif atau negatif, tetapi bagi diri saya… anak-anak bebas memilih kerjaya yang sesuai dengan bakat, minat dan kelebihan yang ada pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia”

Itulah yang seharusnya diberi perhatian. Bahawa kerjaya yang dipilih itu harus menjadi saluran manfaat dirinya kepada manusia. Dan untuk nilai ini menjadi asas pemilihan kerjayanya, si anak harus dibentuk dari awal untuk menjadi manusia yang berakhlaq dengan sikap berbudi dalam berbahasa dan memberi dalam menerima.

Saluran manfaat itu pelbagai. Seeloknya biarlah saluran itu saluran yang berjaya mengahwinkan manfaat dengan minat.

KILANG MANUSIA TERCEMAR

Terlalu berat untuk saya ungkapkan di sini, tetapi saya khuatir dengan nasib sekolah agama malah fakulti-fakulti agama. Kita meyakini bahawa agama adalah bahan paling utama dalam membentuk manusia kita. Maka amat besarlah musibahnya apabila institusi agama menjadi tempat berkumpulnya manusia yang runtuh jiwanya, musnah akhlaknya, dan kebanyakan kelakuan tidak senonoh di kalangan bakal ‘orang agama’ ini adalah berpunca daripada paksaan ibu bapa ke atas mereka.

Paksa anak belajar agama, tetapi jangan paksa anak jadi orang agama!

BEGIN WITH THE END IN MIND

Keduanya, jika anak mahu dipaksa masuk ke bidang agama untuk menjadi orang agama, apakah telah jelas di fikiran ibu bapa dan anak-anak apakah kerjaya yang bakal disandang oleh anak selepas tamat pengajian nanti?

Soalan yang sering saya tanya, KENAPA MAHU JADI USTAZ?

Saya sudah pun mengungkapkan dengan panjang lebar di dalam artikel saya dengan tajuk yang sama. Tetapi perspektif ibu bapa terhadap hal ini juga mesti dinilai kembali.

Kita mahu anak kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa, atas keyakinan kita bahawa anak seperti ini ‘menyelamatkan’. Inilah anak yang bakal mengemudi keluarga, menghulurkan doa selepas ketiadaan kita, menyejukkan mata, jiwa dan telinga dengan bacaan al-Quran dan lafaz hadith pada bibirnya, tetapi perlukah untuk mencapai semua itu, seorang anak menjadi ‘orang agama’?

Menjadi orang agama dengan menjadi orang yang beragama adalah dua perkara yang boleh bertindan, tetapi nyata ia adalah dua identiti yang berbeza. Khususnya apabila ia dikaitkan dengan kerjaya.

Peluang pekerjaan untuk orang agama itu agak berbeza. Jika dia mahu mengikut spesifikasi kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya, maka berapakah jumlah tenaga manusia yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru KPLI, J-QAF, jabatan-jabatan agama, Baitulmal dan guru-guru di pelbagai sektor lain? Berapakah jumlah kekosongan untuk menjadi pensyarah di bidang agama?

Pendek kata, persaingannya sangat tinggi. Untuk si anak pergi mengisi kekosongan ini, mereka harus outstanding dengan kelebihan masing-masing.

Malah sebelum mereka pergi mengisi kekosongan itu, apakah selaras minat mereka di bidang agama dengan minat mereka untuk mengisi kerja-kerja admin di jabatan-jabatan agama?

Bagaimana pula dengan tugasan sebagai Imam sepenuh masa di sebuah masjid? Tidak dinafikan, status sosial seorang Imam di dalam komunitinya memang baik.Tetapi penghormatan yang diberikan oleh masyarakat mungkin tidak setimpal dengan keperluan hidupnya. Bertugas sebagai imam belum lagi secara umumnya boleh menjadi suatu profesyen di negara kita.

Saya bukan sahaja memaksudkan ia dari aspek penggajian, malah Imam-imam di masjid kita masih dibayar secara elaun, bekerja dengan taraf kontrak, tiada pencen, EPF atau yang seumpama dengannya, malah skop kerja yang membosankan. Disebabkan oleh kongkongan pelbagai pihak terhadap peranan sebuah masjid, para Imamnya juga turut terbantut perkembangan diri.

Semasa saya bertugas sebagai Imam sepenuh masa di Ireland Utara, kebebasan yang dinikmati oleh masjid-masjid di sana telah menjadikan tugasan saya bercabang kepada peranan-peranan berikut:

1. Mengimamkan solat lima waktu dan Jumaat.
2. Mengajar jemaah masjid kitab Nuzhat al-Muttaqin Sharh Riyadh al-Salihin.
3. Menjadi jurunikah untuk menikah kahwinkan pasangan, serta menguruskan hal ehwal rumahtangga termasuk penceraian dan konflik rumahtangga.
4. Menjadi pegawai agama (Muslim Chaplain) di hospital, penjara dan universiti (QUB).
5. Menjadi pengetua sekolah.
6. Menjadi guru pada masa yang sama.
7. Membangunkan silibus pendidikan sekolah.
8. Mengendalikan dialog interfaith dengan tetamu masjid.
9. Menjadi webmaster halaman web masjid.
10. Bertindak sebagai ‘kaunselor’ untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang pelbagai oleh komuniti

Skop kerja ini memang agak ‘gila’ dan saya tidak dapat menafikan trauma yang saya alami akibat beban kerja yang teramat sangat itu. Tetapi tekanan itulah yang kemudiannya tanpa sedar telah memaksa diri saya untuk berkembang.

Apakah seorang imam di dalam sistem yang menguruskan masjid kita (jika ada sistem) memberi ruang yang luas untuk seorang anak muda berkembang? Tatkala seorang imam muda bertemu dengan rakan-rakannya yang menyambung pengajian peringkat sarjana, atau masuk ke bidang kerja yang kelihatannya punya prospek yang lebih baik, ditambah dengan rutin kerja seorang imam yang sangat hambar lagi membosankan, saya tidak terkejut jika perjawatan imam tidak mampu kekal lama. Sering sahaja berganti.

Jika seorang ibu dan bapa mahu menyalurkan anak kepada kehidupan seperti ini, mereka harus cuba untuk memahami apakah bentuk dilema dan cabaran yang bakal membelenggu mereka.

Terjun ke masyarakat sebagai seorang ustaz dan ustazah jadi lebih mencabar apabila dirinya tidak cukup kompetetif dalam menangani keperluan masyarakat. Seorang Imam yang hafiz 30 juzuk, menjadi Imam di sebuah masjid yang dikelilingi masyarakat korporat dalam keadaan Imam itu tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mengetahui dan memahami kehidupan ahli jemaahnya yang sangat urban itu, pasti akan berdepan dengan konflik.

Jika tidak dengan kaum ibu dan kaum bapa, mungkin sahaja berdepan dengan konflik tatkala berinteraksi dengan anak-anak mereka yang English Oriented itu.

Kesimpulannya, apabila seorang anak muda memilih atau dipaksa memilih untuk menjadi orang agama, dirinya harus membuat persediaan yang sesuai dengan cabaran yang bakal menanti. Pelajar yang cemerlang semasa di alam persekolahan, tetapi kemudiannya memilih untuk menjadi orang agama, harus bersedia untuk mungkin bertemu semula dengan rakan sekolah 15 tahun selepas SPM dalam keadaan taraf kerjaya yang jauh berbeza. Mungkin yang paling cemerlang itu bukan yang hidupnya paling senang.

KEMAMPUAN

Terakhir, jika soal minat dan kesediaan terhadap cabaran itu sudah diambil kira, maka keputusan untuk membuat pengkhususan di bidang agama mestilah pula mengambil kira soal keupayaan.

Kita tidak mahu bidang agama menjadi ‘tong sampah’ tempat mengumpul manusia buangan yang tidak mempunyai peluang di tempat lain. Kita tidak punya harapan yang tinggi jika bidang agama dipenuhi oleh pelajar yang lemah kemampuan. Ketika agama semakin dicabar oleh masyarakat hari ini, ia diburukkan lagi oleh agama yang dipimpin oleh orang agama yang mundur, tiada keupayaan untuk berdiri sama ada dengan kesarjanaan yang baik, mahu pun jati diri yang cemerlang.

Orang agama yang selekeh ilmu dan selekeh sikap hanya memburukkan lagi keadaan masyarakat kita.

“Susah sangatkah bidang agama ini?”, mungkin ada yang bertanya begitu.

Memang tidak susah. Jika sasarannya ialah sekadar mahu lulus. Cukup sekadar pulang dengan maqbul.

Tetapi jika seseorang itu mahu menjadi orang agama yang ada kesediaan terhadap challenge and response yang sentiasa berubah dan menuntut perubahan, bidang agama memerlukan pelajar yang ada kelayakan untuk ke bidang perubatan, kejuruteraan dan undang-undang.

ANTARA BERAGAMA DAN MENJADI ORANG AGAMA

Justeru, ibu bapa harus mempertimbangkan sebaiknya, bahawa untuk waladun sooleh yad’uu lahu (anak soleh yang mendoakannya) itu berhasil, mungkin anak itu tidak perlu dipaksa untuk menjadi orang agama. Keutamaannya ialah pada memastikan si anak menjadi manusia beragama.

Tiada masalah untuk anak-anak meneruskan minat mereka di bidang Sunnatullah, kerana jalan untuk mereka itu melengkapkan diri dengan Syariatullah itu pelbagai dan terus ada sepanjang masa. Namun untuk seorang anak yang cemerlang masuk ke bidang Syariatullah, biarlah ia berlaku hasil minat, kemahuan dan kemampuan anak itu sendiri. Paksaan ibu bapa untuk anak ‘berkorban’ dengan masuk ke bidang agama, tanpa kesediaan minda yang betul, akan menjadi racun yang membinasakan.

ALTERNATIF

Mungkin kini, peluang melanjutkan pelajaran ke bidang perubatan di negara-negara seperti Mesir, Jordan malah mungkin juga di negara seperti Indonesia dan India, anak-anak ini mempunyai peluang yang luas terbuka untuk turut sama mengambil peluang mengukuhkan ilmu agama mereka. Selain dari silibus yang mengintegrasikan di antara subjek-subjek teras perubatan dan agama, peluang menambah ilmu melalui universiti yang didominasi bidang pengajian Islam, peluang bertalaqqi dan mengambil manfaat dari ulama’ yang ramai… boleh membantu.

Soal anak menjadi orang agama atau tidak, seeloknya biarlah atas pilihan dan perancangan. Namun untuk menjadi orang yang beragama, ia bukan pilihan, biar pun mungkin dengan sebuah paksaan!

Saya bercakap tentang realiti, jauh dari ilusi dan fantasi. Anda mungkin tidak enak membacanya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Jumaat, 4 Julai 2008

Terkini Anwar Ibrahim

Akhir - akhir ini kita dikhabarkan oleh satu khabar yang menggemparkan tentang Anwar Ibrahim. Saya telah cuba mendapatkan pendapat - pendapat tentang perkara. Banyak blog- blog yg cuba memberikan pandangan dan pendapat masing - masing. Tidak kurang jga yang memberikan tohmahan dalam pelbagai bentuk. Di sini saya letakkan link untuk anda semua melihat sejauh mana pandangan saudara kita mengenai berita ini.

KES LIWAT ANWAR IBRAHIM >> copy dan paste link ini http://www.pakdi.net/my/kes-liwat-anwar-ibrahim/