Ahad, 16 November 2008

jangan terlalu emosi!



"kitab ini banyak hadis dhaif dan palsu!" ujar rakan saya.

"kitab ini langsung tak boleh pakai!" ujar yang lain

saya banyak di hujani oleh pertanyaan dan perbincangan tentang kitab ini,saya bukanlah orang yang pernah mengkaji sepenuhnya kitab ini. Antara emosi dan realiti,saya dengan penuh rendah diri,ingin mengajak sahabat-sahabat yang menghentam kitab ini secara keterlaluan agar membuat kajian dahulu berkenaan kitab ini,kritikan pada kitab ini memang ada,tapi jika sampai seperti 'alergic' dengan kitab ini,saya rasa perkara ini perlu di perbetulkan..disini saya copy kan kata-kata Ust Nasim(murid maulana Asri Yusuf) berkenaan kitab fadhail 'amal:




Berhati-hati ketika bercerita

Terdapat 2 perkara yang perlu diberikan perhatian:

Pertama...

Ketika mendengar berita/cerita...pastikan dengar betul2 dan faham...

Kedua...

Ketika menceritakan kembali berita/cerita yang telah didengar, pastikan kita menceritakannya dengan betul dan tiada tokok tambah...


Jangan jadi seperti berikut:

orang yang tak pandai mendengar dengan tepat....

orang yang tak pandai mengingat berita yang didengar....

orang yang tak pandai menceritakan kembali cerita yang telah diingat...

orang yang tak ingin membetulkan kesalahan dirinya yang salah bercerita...

LEBIH-LEBIH LAGI kalau cerita itu cerita tentang Islam, agama kita!
LEBIH-LEBIH LAGI kalau cerita itu tentang orang Islam, saudara kita!


INGATLAH...
Rasulullah SAW telah bersabda:

Cukuplah menjadi satu kesalahan/pembohongan apabila seseorang itu menceritakan semua perkara yang didengarinya..(dengan maksud tidak menapis dan tidak berhati-hati)
(Hadith riwayat Imam Muslim di dalam pendahuluan bukunya 'Sahih Muslim' dan juga diriwayatkan oleh Abu Daud dalam 'Sunan')

di petik dari www.alitantawi.blogspot.com

Isnin, 3 November 2008

Busyro tenat

salam sahabat-sahabat,rakan-rakan,dan sesiapa yang kenal Busyro,minta didoakan untuk beliau yang sekarang ini semakin tenat


-aisha-

Artritis psoriatik - bukan setakat masalah kulit


ADAKAH anda menghidap psoriasis? Jika ya, tahukah anda bahawa anda juga mungkin mengalami artritis? Psoriasis ialah sejenis gangguan kulit di mana bahagian tertentu kulit mengalami radang dan diliputi oleh kuping berwarna perak atau kelabu.

Jaafar Lajis, seorang bekas ketua bahagian majlis perbandaran, pertama kali diserang psoriasis apabila berusia 32 tahun. Pada mulanya dia menganggap keadaan ini hanyalah masalah kelemumur serius, kerana penyakit bermula di kulit kepala, justeru dia mengabaikannya sehinggalah dia mendapati pengelupasan dan kekeringan kulit menular ke bahagian lain badan.

Dugaan

Jaafar agak bernasib baik kerana secara kebetulan dia mengalami tifoid pada waktu itu dan dimasukkan ke hospital. Dia mengambil kesempatan untuk bertanya doktor tentang kulitnya dan diberitahu penyakit yang dialaminya bernama psoriasis. Tetapi disebabkan kurang kesedaran tentang psoriasis pada tahun 1970-an, keluarganya masih tidak percaya hakikatnya dia bukan sekadar mengalami masalah kulit.

"Mereka ingat saya terkena santau orang yang cemburukan saya kerana saya dinaikkan pangkat lebih awal. Malah, abang saya telah curi-curi membawa saya keluar dari hospital di tengah malam untuk berjumpa seorang bomoh Thai tua, yang membaca mantera dan menanam beg kecil di laman rumah saya, kononnya untuk melindungi saya daripada gangguan lanjut," ujar bapa kepada tiga orang anak ini.

Dia tahu segala jampi serapah tidak berkesan kerana penyakit psoriasis kekal walaupun selepas sakit tifoid telah pulih dan dia dibenarkan keluar hospital. Sejak itu, Jaafar yang kini berusia 70 tahun dan sudah bersara, mula mengenali dan memahami psoriasis.

Menurut Jaafar, dia juga terpaksa menukar gaya hidup pada waktu itu memandangkan dia aktif menjalankan kegiatan luar dan tugas memerlukannya mengunjungi banyak tempat.

"Malah saya juga suka berjoging dan bermain golf. Apabila saya disahkan menghidap psoriasis, saya terpaksa melindungi diri saya daripada cahaya matahari secara langsung dan memastikan kulit saya sentiasa dilindungi pelembap," ujarnya.

Apabila mencecah usia 45 tahun, sendinya pula mula terasa sakit, menyebabkan sukar baginya memandu dan bergerak seperti biasa. Namun dia tetap cekal dan mendapatkan rawatan perubatan untuk menguruskan kegiatan harian.

"Masalah bermula dengan ketegangan dan sakit di lutut, dan kemudian merebak ke jari dan siku. Ada kalanya saya amat resah kerana dibelenggu dua penyakit, iaitu masalah kulit dan juga artritis," katanya.

Apakah artritis psoriatik?

Pakar Runding Perubatan dan Ahli Reumatologi, Dr. Ong Swee Gaik menjelaskan, untuk menguruskan pesakit individu yang mengalami artritis psoriatik, doktor perlu mengenal pasti pelbagai faktor yang mendatangkan kesan negatif terhadap fungsi dan kualiti kehidupan pesakit.

"Artritis psoriatik boleh memberi kesan buruk terhadap pesakit. Penyakit ini bukan sahaja menjejaskan keupayaan fungsi, tetapi psoriasis yang mencemar kulit dan penampilan fizikal pesakit juga menyebabkan pesakit mempunyai harga diri yang rendah.

"Justeru, pendekatan rawatan yang menyeluruh perlu diambil untuk menangani pelbagai aspek masalah ini dan dalam keadaan paling ideal, membabitkan pasukan yang terdiri daripada pakar reumatologi, dermatologi, fisioterapi, psikiatri dan pakar bedah ortopedik," ujarnya.

Artritis psoriatik ialah penyakit kronik yang menyebabkan ruam kulit (psoriasis) dan radang sendi. Psoriasis ialah penyakit kulit umum yang dicirikan oleh kulit kering berkuping dengan tompok merah bergelembung.

Biasanya ia dialami di bahagian seperti kulit kepala, telinga, sendi dan lutut. Artritis psoriatik boleh berlaku pada sebarang usia, khususnya antara 30 hingga 55 tahun dan menyerang golongan lelaki dan wanita pada kadar yang sama.

Menurut Dr. Swee Gaik, bukan semua orang yang menghidap psoriasis akan mengalami artritis. "Artritis psoriatik dialami antara 10 hingga 30 peratus pesakit psoriasis. Justeru, penghidap psoriasis perlu dimaklumkan tentang perkara ini apabila mereka didiagnosis buat kali pertama, supaya mereka bersedia mendapat rawatan awal bagi sendi jika mereka mengalami artritis nanti," tegasnya.

Data menunjukkan bahawa artritis psoriatik ialah masalah yang lebih serius daripada yang dijangka pada mulanya. Penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan sendi walaupun pada peringkat awal penyakit. Tahap kerosakan sendi dalam artritis psoriatik agak pelbagai, daripada bengkak pada satu sendi yang menyakitkan kepada kerosakan serius beberapa sendi.

Artritis sering membabitkan lutut, buku lali dan sendi dalam kaki. Biasanya beberapa sendi mengalami radang pada sesuatu masa. Pesakit dengan radang sendi mengalami kesakitan, bengkak, kemerahan dan rasa panas pada sendi. Satu lagi gejala umum ialah ketegangan sendi yang biasanya lebih serius pada waktu pagi.

Kadangkala, artritis psoriatik boleh menyebabkan radang pada tendon jari tangan dan kaki dengan kemerahan dan bengkak. Ini menyebabkan rupa seperti sosej dan keadaan ini dikenali sebagai 'daktilitis'.

Radang juga boleh berlaku pada tendon di belakang tumit. Ini pula dikenali sebagai radang tendon Achilles dan boleh menyebabkan kesakitan apabila berjalan dan menaiki tangga.

Penghidap artritis psoriatik juga mengalami perubahan kuku yang berkaitan penyakit. Kira-kira 60 hingga 80 peratus daripada pesakit mengalami masalah kuku seperti lekuk pada kuku (kemunculan lekuk khusus (bintik halus) pada permukaan kulit), batas dan onikolosis (kuku tertanggal daripada isi tanpa rasa sakit).

Selain sendi tangan dan kaki, sendi di sepanjang tulang belakang dan sakrum (bahagian bawah belakang) juga mungkin mengalami radang, menyebabkan kesakitan dan ketegangan pada leher dan bawah belakang. Namun masalah ini jarang dialami.

Punca artritis psoriatik

Dr. Swee Gaik menyatakan punca sebenar artritis psoriatik tidak jelas tetapi faktor keturunan dipercayai memainkan peranan penting.

"Kanak-kanak dengan ibu bapa yang menghidap psoriasis mempunyai kebarangkalian tiga kali ganda lebih tinggi diserang penyakit ini. Punca lain artritis psoriatik termasuk pendedahan kepada jangkitan, trauma dan perubahan persekitaran atau tekanan psikologi," jelasnya.

Kira-kira 67 peratus daripada pesakit menghidap psoriasis sebelum artritis bermula, 16 peratus lagi mengalami kedua-dua penyakit dalam tempoh 12 bulan antara satu sama lain, manakala baki 17 peratus kes, artritis mendahului psoriasis.

Sama seperti pelbagai bentuk artritis lain, artritis psoriatik juga ada kalanya menjadi semakin teruk atau bertambah baik. Pesakit perlu belajar cara menguruskan keadaan untuk mengurangkan kesan negatif (apabila penyakit menjadi aktif) dan memanjangkan tempoh reda (apabila penyakit tidak menjelma) supaya meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Menguruskan artritis psoriatik

Pengurusan artritis psoriatik bergantung pada betapa seriusnya masalah ini. Pada asasnya pengurusan penyakit membabitkan rawatan bagi artritis dan juga psoriasis.

Cabarannya ialah untuk mencari rawatan yang sesuai yang akan melegakan psoriasis dan juga artritis, kerana kebanyakan pilihan rawatan hanya melegakan salah satu daripada penyakit berkenaan.

Rawatan biasanya membabitkan kombinasi senaman dan ubat. Pendidikan pesakit ialah satu lagi aspek pengurusan yang penting kerana kefahaman tentang penyakit memastikan rawatan dipatuhi dengan lebih teliti lantas meningkatkan kawalan terhadap artritis psoriatik.

Faktor yang didapati menyebabkan artritis psoriatik bertambah buruk termasuk jangkitan, stres dan perubahan musim dan cuaca. Ubat tertentu seperti beta blocker (sejenis ubat anti-hipertensi) telah dilaporkan mencetus atau memburukkan lagi psoriasis.

Senaman ialah satu komponen penting rawatan. Senaman impak rendah seperti berjalan kaki, meregangkan badan, berenang dan tarian baris akan meningkatkan daya pergerakan dan mengurangkan ketegangan sendi pada waktu pagi. Senaman juga membantu mengekalkan berat badan yang sewajarnya untuk mengurangkan tekanan pada sendi, khususnya pada lutut.

Dr. Swee Gaik berkata, kecergasan fizikal juga membantu mengurangkan sakit kerana senaman akan menguatkan otot di sekeliling sendi untuk menyokong pergerakan sendi dan juga meningkatkan julat pergerakan sendi.

"Namun, anda perlu mendapatkan nasihat ahli fisioterapi sebelum memulakan sebarang program senaman kerana senaman yang salah boleh menyebabkan penyakit anda bertambah teruk," ujarnya.

Ahli fisioterapi akan mencadangkan senaman yang sesuai mengikut tahap penyakit dan keupayaan fizikal pesakit. Senaman boleh dilakukan di rumah atau di unit fisioterapi.

Selain senaman, teknik fizikal lain juga boleh membawa manfaat seperti aplikasi haba atau mampatan dingin. Aplikasi haba membawa manfaat dengan meregangkan otot sebelum senaman manakala aplikasi ais (mampatan sejuk) membantu mengurangkan bengkak dan radang selepas senaman.

Penjagaan kulit juga penting untuk menguruskan artritis psoriatik dengan baik. Pesakit harus memastikan kulit sentiasa lembut dan lembap, sebagai contoh, pelembap tebal boleh disapu selepas mandi.

Krim sapu atau pelembap seperti Vitamin D atau krim steroid membantu mengekalkan kelembapan kulit dan mengelakkan kekeringan, pengelupasan atau kegatalan. Sesetengah pesakit psoriasis mungkin memerlukan terapi PUVA (psoralen serta sinar A ultra lembayung gelombang panjang), yang memperlahankan pertumbuhan sel dan mengekang psoriasis.

Ini merupakan kombinasi ubat preskripsi psoralen, yang diambil dalam bentuk pil atau ditambah kepada air mandian, serta pendedahan kepada cahaya ultralembayung jenis A. Terapi biasanya membabitkan 20 hingga 30 rawatan dalam tempoh beberapa minggu, di bawah penyeliaan perubatan yang ketat.

"Seperti semua bentuk artritis, rehat dan perubahan persekitaran adalah aspek penting pengurusan penyakit.

"Elakkan daripada mengangkat benda berat atau menjalankan kegiatan yang mungkin menyebabkan gangguan kepada sendi yang terjejas. Jika sendi pergelangan dan jari mengalami artritis, mungkin ada baiknya anda memakai penganduh pada waktu malam atau penganduh kerja pada waktu siang sebagai sokongan sendi," kata Dr. Swee Gaik.

Aplikasi haba atau dingin juga boleh memberikan kelegaan kesakitan sementara. Haba membantu mengurangkan kesakitan dan ketegangan dengan melegakan otot yang sakit dan meningkatkan peredaran darah pada kawasan tersebut, tetapi terdapat kebimbangan ia mungkin memburukkan lagi keadaan sendi yang sudah mengalami radang.

Sentuhan dingin, seperti meletakkan ais atau pek dingin membantu mengebaskan bahagian yang sakit dan mengurangkan radang dengan mengecutkan saluran darah dan menghalang impuls saraf dalam sendi.

Pesakit yang mengalami artritis psoriatik perlu mengambil ubat. Ubat yang sering digunakan ialah ubat antiradang bukan steroid (NSAID) dan ubat anti-reumatik pengubah suai penyakit (DMARD).

NSAID digunakan untuk mengurangkan radang, kesakitan dan ketegangan pada sendi dan berkesan khususnya bagi mereka yang menghidap psoriasis ringan. Namun begitu kita perlu maklum bahawa walaupun NSAID memberikan kelegaan simptomatik terhadap artritis psoriatik, ubat ini didapati tidak mempengaruhi penularan artritis.

Kadang kala, apabila hanya beberapa sendi mengalami radang di kalangan pesakit artritis psoriatik, pakar reumatologi anda mungkin menyuntik kortikosteroid ke dalam sendi. Ini boleh menghilangkan kesakitan pesakit dengan serta-merta.

Bagi pesakit yang penyakitnya tidak responsif kepada NSAID, dan juga dengan penyakit yang sederhana hingga teruk yang lebih luas dan agresif, mereka memerlukan ubat yang lebih kuat seperti ubat antireumatik pengubah penyakit (DMARD). Antaranya termasuk methotrexate, sulfasalazine, cyclosporine dan leflunomide. Bagaimanapun, penggunaannya perlu dipantau memandangkan potensi kesan sampingannya.

Bagi pesakit yang tidak menunjukkan tindak balas yang sewajarnya kepada DMARD, kini terdapat agen baru yang menunjukkan kemujaraban dalam rawatan artritis psoriatik. Antara agen ini ialah agen biologi yang dikenali sebagai anti-TNF (faktor nekrosis tumor).

Ia didapati benar-benar membawa manfaat kepada pesakit untuk melegakan artritis dan juga psoriasis. Agen biologi didapati menghentikan atau mengurangkan penularan kerosakan struktur kepada sendi dan meningkatkan keupayaan fungsian pesakit dan kualiti kehidupan mereka.

Penjagaan sendi penting untuk mencegah kecacatan sendi, yang mungkin memerlukan terapi penggantian sendi. Ini biasanya pilihan terakhir apabila sendi sudah rosak dan tidak boleh dipulihkan.

Terapi penggantian sendi membolehkan pesakit bergerak dan berfungsi dengan lebih baik, sambil mengurangkan kesakitan yang dialami mereka.

Dr. Swee Gaik menjelaskan banyak maklumat yang boleh didapati di Internet atau menerusi Yayasan Artritis Malaysia, selain daripada nasihat doktor.

"Pengetahuan akan memperkasakan anda untuk membuat keputusan sewajarnya bagi memastikan anda menerima rawatan yang betul," tegasnya.

Pesanan kesihatan awam ini dibawakan kepada anda menerusi geran pendidikan daripada Wyeth Malaysia sempena Hari Psoriasis Sedunia pada 29 Oktober lalu.