Selasa, 12 Februari 2008

DARURAT SANGAT, SEBAB TU AMBIL PTPTN

Setelah kita agak jelas dengan hukum caj PTPTN ini. Bilamana seseorang tiada jalan lain lagi yang boleh di perolehi untuk mendapatkan bantuan kewangan pelajarannya, cuma PTPTN saja yang layak (pinjaman PTPTN pula pula dibuat secara Riba), atau bagi sesiapa yang telah terlanjur terlibat dengan Riba ini, tidak banyak yang boleh saya nasihatkan kecuali bertaubat kepada Allah atas ketidakmampuan mengelak itu dan berdoa agar anda tidak di bebankan dengan dosa ini dengan hati yang tidak redha.

Allah SWT telah menyebut dgn jelas ertinya : " Allah tidak membebankan seseorang perkara yang tidak tidak dimampuinya"
Namun demikian,apa yang saya lihat di kalangan pelajar-pelajar ini,apabila sudah memperoleh wang pinjaman, maka akan sibuklah sebahagian dari mereka ini membeli handphone baru,baju baru,kasut baru,dan pelbagai lagi aksesori diri yang tidak terlalu mendesak keperluaannya. Nampaknya unsur dharurat yang di beri kelonggoran ini telah di salah gunakan oleh sebahagian pelajar-pelajar.

Dr. Yusuf al-Qardhawi di dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram Fi al-Islam menyentuh tentang dharurat yang membolehkan melakukan sesuatu yang dilarang. Beliau telah menegur dan memperingatkan umat Islam agar tidak secara sembrono mempermudah-mudahkan kelonggoran yang diberi oleh syarak atas alasan dharurat.

Jika mereka berhujjah membeli handphone pada masa kini adalah satu keperluan,ya..mungkin hujjah itu boleh di terima,tetapi bagaimana jika handphone itu sengaja di beli dengan harga yang tinggi di sebabkan model yang agak canggih? adakah terlalu berhajjatkan kepada barangan sebegitu?tidak bolehkah mereka membeli handphone yang cukup sekadar memenuhi "keperluan" yang mereka sebutkan tadi?

Ada pula yang mengatakan,"ala…da ni duit lebih dari bayar yuran,PTPTN bg byk,guna la habis-habis" bagi saya,jawapan ini sangat mendukacitakan,mereka lebih mengutamakn hawa nafsu mereka daripada memerhatikan ancaman dari ALLAH berkenaan riba ini. Tidak bolehkah mereka simpan duit baki bayar yuran pengajian daripada PTPTN itu? sekurang-kurangnya mereka telah ada sedikit simpanan untuk di bayar semula kepada PTPTN nanti. Saya kira kalau terlalu mendesak kerana kemiskinan yang menghimpit,itu mungkin di bolehkan(pendapat saya ini boleh di tolak atau di terima),tetapi kepada mereka yang menghabiskan duit lebihan bayar yuran Pengajian daripada PTPTN ini untuk kepada perkara-perkara yang tidak terlalu mendesak keperluannya,anda fikir apa hukumnya?

Sama-samalah kita berhati-hati dalam soal sebegini,semoga suatu hari nanti PTPTN ini akan menukarkan polisinya agar membuang caj perkhidmatan yang tidak sepatutnya dan kita bebas dari amalan riba ini. wallahu'alam


busyrolil'alamin~

Jumaat, 8 Februari 2008

Tak puas hati dengan Mufti Johor!!


بسم الله الرحمن الرحيم

Saya melahirkan rasa agak kecewa dengan kenyataan yang di keluarkan oleh Mufti Johor " Caj perkhidmatan sebanyak tiga peratus dikenakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah mengikut hukum syarak dan tidak perlu ditukar kepada sistem lain, kata Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut

Beliau berkata, caj pentadbiran sebanyak tiga peratus dikenakan kepada peminjam tidak bertentangan dengan hukum syarak berdasarkan beberapa aspek antaranya kadar yang ditetapkan itu tidak terlalu tinggi.


“Kadar tiga peratus boleh dikatakan agak rendah berbanding syarikat yang memberikan perkhidmatan sama, iaitu ada yang mengenakan caj pentadbiran tidak setimpal dan menyusahkan peminjam. "


Beliau seolah-olah tidak membaca dan mendalami sepenuhnya syarat-syarat yang di kenakan oleh PTPTN dan juga seolah-olah tidak memahami muamalat di dalam Islam. Saya ingin membawakan keputusan Persidangan ulama antarabangsa di bawah AAOIFI (http://www.aaoifi.com) menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan (dari jumlah yang diberi pinjam) yang telah dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau ‘aqad' pinjaman dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan dan apa-apa manfaat adalah di larang sama sekali dan ia adalah Riba. (Shariah Standard, AAOIFI, hlm 336)

Adapun dalam hal kos perkhidmatan, Majlis Shariah AAOIFI dan hasil Keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (dalam sidangnya yang ketiga pada 1986 M) berpendapat DIBENARKAN untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ianya ADALAH KOS SEBENAR. Resolusi mereka juga menyebut, adalah HARAM untuk mengenakan kos yang lebih dari kos sebenar, justeru para Ulama dari persidangan tadi mewasiatkan agar cara untuk mengira dibuat setepat dan sebaiknya. Selain itu, keputusan mereka juga menyebut bahawa kos-kos tidak lansung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman. (Shariah Standard, AAOIFI, no 9/1, hlm 337)

Hasilnya, perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 2 %, 3 % atau 4 % dari jumlah pinjaman dengan hujjah bahawa ianya adalah kos pengurusan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ini adalah bentuk yang dilakukan oleh PTPTN dan lain-lain institusi yang melakukannya.

Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut " It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given)" ( Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338). Ini adalah kerana peratusan yang dikaitkan dengan jumlah pinjaman ini menyebabkan jumlah kos pengurusan yang pada asalnya adalah sama (kerana menggunakan alatan dan system yang sama), menjadi berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi.

Inilah Riba yang berselindung di balik nama kos pengurusan dan ‘Qardul Hasan' namanya. Bayangkan, jumlah kos sebenar bagi sesuatu pinjaman yang diberikan kemungkinan hanya (sebagai contoh) sebanyak RM 500 bagi setiap transaksi komputer, peguam, cukai stamp dan lain-lain kos sebenar urusan pinjaman atas asas ‘Qardul Hasan'. Dalam keadaaan ini, sepatutnya sesiapa sahaja yang meminjam, tanpa mengira berapa pun jumlah pinjaman mereka maka akan dikenakan satu jumlah kos sebenar pengurusan yang tetap dan tepat iaitu RM 500.

Bagaimanapun, apabila diletakkan satu jumlah peratusan seperti 2 % dan lainnya. Jumlah kos pengurusan tadi sudah pasti akan berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi, tatkala itu kos pengurusan tidak lagi menjadi kos pengurusan tetapi menjadi kos faedah dan riba yang dikenakan bagi setiap sen duit atau wang yang dipinjamkan.

Dalam hal ini,Mufti johor selaku org yang ada autoriti tentang fatwa sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu pendapat,takut-takut kerana kejahilan kita di sebabkan tidak mengkaji secara terperinci tentang sesuatu masalah yang timbul akan menyebabkan berlaku kecelaruan dalam masyarakat kita,dan harapnya pendapat seperti ini tidak di jadikan "lesen" bagi pihak yang berkenaan untuk sewenang-wenangnya mengaut keuntungan dengan cara yang telah di sepakati haram oleh ulama'. Wallahu'alam

oleh Busyro lil'alamin

http://drbusyro.blogspot.com

rujukan UZAR

jawapanku kepada adik angkatku mengenai taraf hadith al-Musalsal bi al-Musafahah berkenaan berjabat tangan (salam) masuk syurga


Bismillahirrohmanirrohim

Apa yang saya ingin tulis di sini ialah komen saya terhadap reaksi adik angkat saya berkenaan isu hadith al-Musalsal bi al-Musafahah berjabat tangan yang di bawa oleh Ustaz Nuruddin al-Banjari yang mana beliau menyetujui Ust Nuruddin,dengan membawakan kepada saya video penjelasan Ustaz Nuruddin berkenaan isu hadith al-Musalsal bi al-Musafahah tersebut. Sebelum itu,saya ingin tegaskan di sini khususnya kepada adik saya ini,kita sepatutnya menilai dengan ilmu,jauh dari sentimen fanatik kepada mana-mana individu. Inilah sikap yang sepatutnya subur di kalangan penuntut yang cintakan al-Quran dan al-Sunnah.

Isu hadith al-Musalsal bi al-Musafahah yang dibawa oleh Ustaz Nuruddin, beliau telah meriwayatkan hadith tersebut dalam bentuk melakukan atau mencontohkan perbuatan yang kononnya dilakukan oleh Nabi saw kepada orang ramai. Lalu di akhir hadith tersebut ada jaminan syurga bagi orang yang mencontohinya, dengan lagak kononnya seolah-olah semua perbuatan dan perkataan itu dilakukan oleh Nabi saw, tanpa langsung mengambil pusing tentang pengthabitan hadith tersebut samaada ia benar dari Nabi saw atau sebaliknya. Sekali lagi saya nyatakan INILAH ISU YANG UTAMA.

Sanad-Sanad Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah

Kesemua sanad hadith al-Musalsal bi al-Musafahah yang termuat di dalam buku ustaz Nuruddin al-Banjari yang beliau gunakan ketika menyampaikan hadith ini tidak menaikkan sama sekali darjat hadith tersebut. Walaupun beliau mendatangkan dalam bentuk riwayat yang berbagai, bersama dengan tahwilnya (huruf ح yang ada di dalam sanad menunjukkan al-Tahwil, secara mudah ia menunjukkan periwayatan pada rawi tersebut terpecah kepada dua).

Ini kerana semua sanad tersebut datangnya dari individu atau rawi yang satu, iaitu yang telah dituduh oleh para ulama hadith sebagai dusta, pembohong, dajjal dan seumpamanya. Rawi tersebut ialah al-Mu'ammar. Rawi atau periwayat yang bernama Mu'ammar inilah yang mendakwa dia telah bersalam dan mengambil hadith tersebut dari Nabi saw. Saya tegaskan sekali lagi bahawasanya banyaknya rantaian sanad tidak dapat mengangkat darjat sesuatu hadith, jika semua sanad tersebut datang dari seorang rawi atau periwayat yang di tuduh dusta. Ini suatu yang diketahui oleh semua yang mempelajari hadith.

Kedudukan Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah

Hadith al-Musalsal bi al-Musafahah adalah hadith yang batil (باطلة), dusta (كاذبة), tidak ada asal baginya dan tidak pernah wujud.Demikianlah hukuman yang diberikan oleh para ulama hadith seperti al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani, al-Imam al-Suyuti dan lain-lain. Yang lebih menarik lagi hadith ini dipalsukan juga oleh al-Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah yang bukanlah dari aliran salafi, tetapi beraqidah dengan aqidah Asya'irah, dan seringkali tidak sependapat dengan al-Syeikh Nasiruddin al-Albani. Orang seperti al-Syeikh 'Abd al-Fatah ini sendiri menghukumkan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah sebagai batil, dusta, tidak ada asal baginya dan tidak pernah wujud dalam tahkikya bagi kitab Zafar al-Amani (ظفر الأماني). Bahkan beliau menyambung :

“Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan (hadith ini) ke atas Nabi saw tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya”. (m.s. 273, cetakan: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah, Damsyik).

Lihat pula perkataan al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani di dalam al-Isabah ketika mengomentari salah seorang perawi bernama al-Mu'ammar atau al-Ma'mar yang ada di dalam sanad hadith al-Musalsal bi al-Musafahah tersebut :

"al-Mu'ammar adalah peribadi yang direka oleh para pendusta." (jilid 6, m.s. 368, cetakan: Dar al-Jail, Beirut).

Dalam Lisan al-Mizan al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani menyebut :

”Riwayat berjabat tangan Mu`ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (jilid 6, m.s. 68, cetakan:Muassasah al-`Ilm li al-Matbu`at, Beirut).

Al-Imam al-Sayuti pula di dalam fatwanya bila ditanya mengenai hadith Mu`ammar, beliau berkata:

“Mu`ammar adalah pendusta lagi dajjal, hadithnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya. Sesiapa yang melakukan demikian (meriwayat hadith palsu tersebut) termasuk dalam sabda Nabi saw: “sesiapa berdusta ke atasku maka siap tempat duduknya dalam neraka”. (lihat: Tahqiq Zafar al-Amani, m.s.275).

Apakah yang hendak dikatakan oleh orang-orang yang masih mengamalkan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah ini ? bukankah meriwayatkan hadith yang palsu tanpa menjelaskan kepalsuannya adalah satu kesalahan yang besar ? orang tersebut telah meriwayatkan sesuatu yang kononnya dari Nabi saw sedangkan Baginda tidak menyebut dan melakukannya. Ini bermakna dia telah menjual nama Nabi saw secara dusta.

Al-Imam Ibn al-Salah berkata : “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya”. (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98).

Demikianlah juga yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam muqaddimah syarah sahih Muslim :

"Diharamkan juga meriwayatkan hadith yang palsu bagi sesiapa yang mengetahui kepalsuan hadith tersebut, atau sangkaanya yang banyak mengakui kepalsuan hadith tersebut. Maka sesiapa yang meriwayatkan satu hadith dalam keadaan dia mengetahui atau sangkaan banyakknya mengatakan yang hadith itu palsu, sebaliknya dia tidak menjelaskan kepalsuan hadith tersebut ketika meriwayatkannya, maka orang sebegini termasuk dalam ancaman (pengharam dan neraka) ini. Dia termasuk dalam kumpulan orang yang berbohong atas nama Nabi saw. Ini berdasarkan hadith (yang bermaksud) : "Sesiapa yang menyampaikan satu hadith daripada ku, dalam keadaan dia melihat hadith itu adalah tidak benar, (tapi dia sampaikan juga) maka dia termasuk salah seorang daripada pembohong." (sila lihat muqaddimah syarah sahih muslim)

Perbuatan berbohong atas nama Nabi saw atau meriwayatkan sesuatu yang didustakan atas Baginda memberi kesan yang sangat buruk. Perkataan Nabi saw adalah suatu yang berharga. ALLAH swt memberi jaminan akan harga dan nilainya yang tinggi di dalam firmanNYA :

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى [3] إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى [4]

Maksudnya : "Dan tidaklah (Muhammad) itu memperkatakan menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri"[3] "Sesungguhnya semua yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."[4] (al-Najm : 3-4)

Taksub

Sebahagian orang berasa hebat dan kagum apabila mendapati ustaz yang menyampaikan hadith al-Musalsal bi al-Musafahah ini mempunyai sanad yang bersambung terus sampai kepada Nabi saw. Mereka seolah-olah terpukau dengan sanad yang berlarutan hingga ke hari ini. Sehingga ada pula yang berkata : "Hampa tidak tahu kah ustaz itu ada sanad yang bersambung sampai kepada Nabi saw? Hampa ada ke sanad yang bersambung seperti dia !!!?

Pertama, yang ingin kita jelaskan kepada orang sebegini bahawasanya peranan sanad telah terhenti setakat para ulama yang menghimpunkan hadith seperti al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa-ie, Abu Daud, Ibn Majah dan seangkatan dengan mereka. Adapun nama-nama selepas daripada mereka, yang berlarutan hingga ke hari ini, tidak ada langsung nilai harganya untuk membuktikan kesahihah sesuatu hadith. Kethiqahan mereka dalam meriwayatkan hadith tidak ada sesiapa dapat buktikan. Nama-nama mereka tidak pernah langsung melalui kritikan para ulama Nuqad al-Hadith sehingga boleh dibuktikan hadith yang dibawa mereka boleh diterima ataupun tidak.

Disamping itu sanad yang bersambung semata-mata tidak dapat membuktikan kesahihan sesuatu hadith tersebut. Sebaliknya sanad tersebut perlu memenuhi syarat yang lain seperti semua rawinya mestilah adil dan dobith, tanpa ada syaz demikian juga illah. Hadith-hadith yang Lemah, Mungkar dan Palsu juga ada bersamanya sanad, namun ia tidak memenuhi syarat-syarat sanad yang sahih. Apabila sesuatu sanad hadith tidak memenuhi syarat sahih, maka para ulama akan menghukumkan sanad tersebut sebagai sanad yang lemah, palsu, padanya ada pembohong dan seumpamanya. Ringkasnya sanad semata-mata tidak dapat membuktikan kesahihan sesuatu hadith, kerana tidak dapat dibuktikan benarkah dakwaan orang terakhir yang membawa sanad itu yang ia mengambil cerita tersebut dari orang sebelumnya, dan orang sebelumnya mengambil dari orang sebelumnya hinggalah ke akhir sanad. Apatah lagi sanad hadith al-Musalsal berjabat tangan ini sudah dinyatakan oleh para ulama hadith sebagai sanad yang batil dan dusta.

Semua manusia samaada dia seorang yang alim atau jahil tidak sunyi dari ketergelinciran.Mereka semua tidak maksum Kitalah para penuntut ilmu antara yang berperanan mengingatkan mereka. Bukan megamalkan sikap ta'asub menuruti apa sahaja yang mereka lakukan walau sudah jelas kesilapanya. wallahu'alam

Busyro lil'alamin

9 februari 2008

http://drbusyro.blogspot.com

Khamis, 31 Januari 2008

Kenapa Orang Selalu anggap jabatan atau organisasi agama selalunya lembab?

Sumber http://drmaza.com/ dengan sedikit pindaan

Saya tertarik dengan tulisan Dr . Mohd Asri (mufti Perlis) ramai yang bertanya kepadanya falsafah dan teori kepimpinan Islam yang disebut dalam al-Quran dan al-Sunah begitu hebat. Namun mengapakah pengurusan agama dalam negara ini kelihatan ketinggalan jika dibandingkan dengan pengurusan lain. Kata mereka: Peruntukan kerajaan untuk memajukan agama amat besar. Berbagai-bagai jabatan dan badan ditubuhkan dengan mendapat bajet yang bukan sembarangan. Dari pengarah sehingga pegawai biasa, saban tahun naik gaji. Kereta dan kerusi pun kelihatan mewah-mewah. Malangnya, masalah umat Islam makin bertambah. Bermula dari persoalan minda fikir yang tidak bergerak ke hadapan menjunjung kedaulatan Islam sehingga kepada kelemahan soal hidup berserta dengan nilai diri. Dari hak-hak isteri dan suami yang gagal dilangsaikan di mahkamah syariah secara membanggakan sehingga kepada urusan zakat yang mengecewakan.

Bermula dari mat rempit yang kurang berjaya dipulihkan atas pendekatan agama sehingga kepada kes-kes murtad yang tidak dapat dikembalikan kepada kekuatan dakwah islamiah secara hikmah dan hujah. Kelemahan itu nampaknya bermula dari jabatan ‘yang besar’ sehingga ke institusi masjid secara umumnya. Lebih mendukacitakan lagi, kebanyakan tokoh agama yang mendapat bajet pengurusan dari kerajaan ini gagal menjadi ikon masyarakat.

Mereka bukan sahaja tidak dapat menjadi idola, bahkan majoriti mereka tidak dikenali umat. Suara bernas mereka tidak tampil memberikan cadangan penyelesaian kepada isu-isu semasa. Ketajaman minda agama mereka tidak dapat dirasai dalam banyak perkembangan. Umat pun dalam banyak hal terlupa nama mereka untuk dijemput membicarakan masalah semasa.

Jika tidak kerana peruntukan yang dikendalikan mereka, mungkin sukar untuk didapati majlis yang menampilkan mereka. Ada pula yang dipenjarakan oleh bilik hawa dingin atau kapal terbang kelas pertama. Bagi saya,apa yang berlaku sebenarnya berpunca dari kelemahan pimpinan agama itu sendiri dalam mentadbir.

Tanggungjawab pemimpin sangat penting, banyak hadis yang memperingatkan tentang tugas dan tanggungjawab pemimpin agar tidak memimpin mengikut hawa nafsu dan sentiasa selari dengan al-Quran dan al-Hadis, sebab itu Islam angat menitik beratkan kepada siapa jawatan pemimpin ini di pegang. Agar jawatan pemimpin ini diterajui oleh mereka yang benar-benar mampu dan berkelayakkan. Dalam sebuah hadis yang bermaksud :

Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?” Baginda menepuk bahuku dan bersabda: Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau adalah lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakkan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya. (Sahih Muslim,Bab Pemerintah, No:1793)Ini menjelaskan bahawa Rasulullah tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayakan tidak wujud sepenuhnya. Abu Zar adalah seorang sahabat yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah kepimpinan dan politik berhajat ciri-ciri yang lebih dari itu, bukan sekadar warak dan soleh sahaja. Justeru itu, tidak semua sahabat layak mengendalikan urusan siasah seperti al-Khulafa al-Rasyidun.

Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan politik dan pentadbiran. Kita tersilap jika menyerahkan tanggungjawab tanpa menilai tuntutan zaman berkaitan jawatan berkenaan semata-mata hanya mereka bergelar ‘ustaz’ atau lulusan agama. Jika diserahkan jawatan kepada seseorang berlatar agama tetapi berminda 50-an sedangkan jawatan itu menuntut penyelesaian persoalan semasa, tentu kita akan gagal.

Sarjana Islam yang agung Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-Siyasah al-Syar‘iyyah fi Islah al-Ra‘iy wa al-Ra‘iyyah (meninggal 728H) telah membahaskan soal kelayakan kepimpinan ini dengan begitu menarik.Secara umum, kepimpinan memerlukan dua ciri, al-Quwwah dan al-Amanah. Al- Quwwah iaitu kekuatan atau kemampuan berkaitan jawatan yang dipimpin. Al-Amanah ialah nilai amanah dalam diri. Kata Syeikhul-Islam Ibn Taimiyyah “Hendak dipastikan orang yang terbaik baik setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah.” Kata Ibn Taimiyyah lagi: “Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai-bagai jenis peperangan… al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia.

Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya): Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir). (al-Maidah: 44).

Saya tertarik dengan kenyataan Dr. Asri, pada zaman ini al-Quwwah dalam pengurusan agama dalam kerajaan bukan sahaja merujuk kepada sijilnya tetapi ketajaman mindanya menyelesaikan masalah umat berlandaskan manhaj Islami. Entah berapa ramai yang mempunyai sijil tetapi fikirannya kontang. Dalam keadaan Islam yang tertekan oleh berbagai- bagai tuntutan keadaan dan masa, kepimpinan Islam mesti berkemampuan membela Islam serasi dengan tuntutan masyarakat hari ini. Kemampuan memperkenalkan Islam kepada masyarakat yang begitu rencam ini secara segar dan berketerampilan sangat dituntut bagi setiap yang menduduki jabatan atau badan yang berkaitan dengan Islam.

Kepimpinan Islam di era ini mesti diukur kemampuannya memberikan impak kepada perubahan masyarakat Islam ke arah yang lebih bertamadun dan berkemampuan. Pengukuran kesan terhadap perubahan umat sepatutnya menjadi piawaian kita dalam memilih kepimpinan agama. Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua jenis peribadi, satu, padanya ada kekuatan atau kemampuan tetapi kurang amanah sementara seorang lagi soleh atau sangat amanah tetapi lemah atau tidak berkemampuan. Siapakah yang patut dipilih?

Dalam hal ini maka para ulama al-siyasah asy-syar’iyyah menyatakan hendaklah dilihat kepada kedudukan jawatan dan dinilai siapakah yang paling mampu memberi manfaat dan paling kurang mudaratnya. Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang soleh atau peribadinya tidak baik.

Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan, hendaklah didahulukan yang amanah walaupun lemah pengurusan. Di atas sebab ini maka Rasulullah memilih Khalid bin al-Walid mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah walaupun ada para sahabat yang lebih besar kedudukannya di sisi Nabi. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh mereka. Bahkan Rasulullah pernah menegur dan membantah beberapa tindakan Khalid yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut dalam kitab yang sama: “Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaan dan paling kurang mudaratnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani – walaupun padanya ada kejahatan – diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.”

Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi soleh tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: “Yang kuat dan jahat. Ini kerana kekuatannya untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri. Adapun yang soleh tetapi lemah maka kesolehannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam.” Maka berperang bersama yang kuat dan jahat. Rasulullah juga pernah bersabda: Sesungguhnya Allah menguatkan agama ini dengan lelaki yang jahat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka soal kepimpinan yang mampu menyelesaikan masalah umat Islam hendaklah dilihat secara lebih luas berasaskan ciri al-Quwwah dan al-Amanah. Bukan soal sijil, serban atau songkok, tetapi soal kesan yang mampu mencorakkan umat.

Penilaian semula terhadap beberapa soal pentadbiran agama mungkin boleh menjadi pemangkin perubahan.

Busyrolil'alamin

http://drbusyro.blogspot.com

Medan Dakwah Kita Berbeza

Tugas seorang perawat dan juga pengawal perubatan tidaklah sesekali sama dengan tugas seorang ustaz,begitu juga dalam berdakwah,Uslub mereka juga berbeza, tetapi matlamat mereka adalah sama,iaitu menyeru kepada tauhidkan ALLAH s.w.t. Saya sebagai pengamal perubatan dalam masa sama juga menjadi ahli kepada sebuah badan dakwah,namun lantaran kerana kesibukkan yang sering menghimpit,menjadikan saya sangat jauh dari kumpulan dakwah yang saya sertai ini. Namun itu tidak bererti hati saya sama sekali telah jauh dari meneruskan kegiatan dakwah yang sangat di kasihi oleh ALLAH sw.t. Dalam masa yang sama saya masih lagi menyambung pengajian saya. Hal ini sangat menuntut kesabaran saya. Tetapi saya sangat terkejut dengan keadaan yang berlaku dalam kumpulan dakwah yang saya sertai ini. Kebanyakkan mereka seolah-olah mengkritik saya dalam banyak hal kerana saya tidak begitu komitmen dalam hal berdakwah. Saya mengambil sikap mendiamkan diri dalam hal ini,mungkin sebahagian mereka ini tidak memahami keadaan saya yang sama sekali tidak sama dengan mereka yang bergelar "ustaz dan ustazah". Nampak diam saya itu lebih mengundang parah pada saya sendiri. Saya secara peribadi menghormati mereka semua ini yang saya kira ilmu mereka lebih "tinggi" dari saya. Uslub dakwah yang mahu mereka bawakan adalah menyedarkan rakan-rakan di kampus tentang betapa pentingnya peranan mereka sebagai muslim seterusnya bersama-sama berjuang dalam menegakkan daulah Islam di muka bumi ini! Dalam hal ini saya sangat menyokong mereka. Tetapi keserabutan fikiran saya menjelma apabila saya di kritik tidak bersama dengan kumpulan dakwah mereka ini. "awak kena utamakan jemaah,itu amal jamaa'iy yang patut di dulukan","kamu kena faham keadaan kumpulan kita,takkan kerana kamu seorang,kami yang ramai terpaksa memahami kamu?"saya tertanya-tanya di dalam hati,apa masalahnya? Dalam tempoh saya merawat pesakit setakat ini,amat mendukacitakan bagi saya,kebanyakkan daripada mereka adalah kurang menghayati ajaran Islam itu sendiri,ramai yang meninggalkan solat dengan alasan sakit,siapa pula yang mahu mengajarkan kepada mereka ini cara-cara solat ketika sakit? pelbagai kerenah yang saya temui dalam merawat pesakit,lebih parah lagi, ada yang boleh saya kira kata-katanya telah pun mensyirikkan ALLAH! Hai sahabat kumpulan dakwah ku, medan dakwah kita berbeza,kebolehan kita juga sangat berbeza,apakah saya ini perlu meninggalkan medan saya hanya kerana "patuh" kepada kepimpinan dan arahan agar memberikan komitmen kepada kumpulan dakwah kamu semua?? setakat hari ni,saya belum menerima pelawaan dari kalian sekalian yang mahu turut serta membantu saya berdakwah membetulkan aqidah pesakit-pesakit yang semakin tenat! Tetapi mengapa saya juga yang perlu di persalahkan lantaran ketidakhadiran dalam kumpulan dakwah serta program-program dakwah mereka? Merawat aqidah pesakit-pesakit ini sangat penting,bukankah persoalan aqidah itu persoalan utama?tahukah kalian betapa saya di hujani pelbagai persoalan mengenai ibadah oleh pesakit-pesakit saya? Saya juga perlu sentiasa memberi motivasi kepada pesakit-pesakit yang "tenat" bahawa ALLAH masih sayangkan mereka,yang penting bertaubat. Sahabat-sahabat dakwah yang sangat saya kasihi,berdakwah untuk menegakkan daulah itu tugas yang mulia, namun janganlah dek terlalu ghairah,ianya melebihi disiplin yang telah Islam gariskan,kita semua satu ummah,kepakaran kita yang berbeza-beza inilah yang sebenarnya membantu memudahkan kerja kita dalam berdakwah. Fahamilah diriku ini hai sahabat-sahabatku. Raikanlah kepakaran-kepakaran itu. Janganlah di sempatkan Uslub dakwah itu. Amal jamaa'iy itu bergantung kepada kepakaran seseorang itu,dan kepakaran kurniaan ALLAH itu lah sepatutnya di salurkan kearah kebaikkan ummah! Ingat lah,kita bukan lagi jemaah centric tetapi ummah centric.

Busyrolil'alamin

http://drbusyro.blogspot.com

Jumaat, 25 Januari 2008

Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin!

oleh ustaz Maszlee Malik

Sabda Rasulullah SAW: "Wahai orang-orang muda, sesiapa yang mempunyai kemampuan di kalangan kamu, hendaklah mereka berkahwin. Sesungguhnya ia lebih menjaga pandangan. Barangsiapa yang tidak mampu, hendaklah mereka berpuasa, sesungguhnya ia adalah perisai" (H.R. al-Bukhari)

Antara keluhan yang sering diluahkan oleh para siswa-siswi di IPT ialah tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin. Tuntutan naluri muda mereka menyeru mereka untuk berkahwin. Persekitaran yang diwarnai oleh kefasadan dan maksiat juga menuntut mereka untuk menghalalkan perhubungan berlainan jenis yang merupakan sifat tabi'i manusia. Kajian-kajian oleh sesetengah pihak dan juga laporan-laporan media membuktikannya. Samada hasil kajian yang pernah didedahkan oleh akhbar kosmo pada awal tahun 2006, mahupun apa yang telah dilaporkan oleh NST pada 18 Ogos 2006. Kesemuanya membuktikan kemelut yang sedang dihadapi oleh para siswa dan siswi di IPT-IPT. Sayang sekali, kemampuan material mereka tidak membenarkan pernikahan dilangsungkan di alam pengajian. Ibubapa moden yang berfikiran materialistik dan kolot juga menjadi penghalang utama. Bagi para ibubapa, anak-anak mestilah menghabiskan pengajian, mestilah mempunyai kerja yang tetap dan kukuh, membeli kereta, barulah anak-anak tersebut boleh berkahwin. Akhirnya, anak-anak di IPT bergelumang dengan dosa berpacaran dan berkhalwat yang dilarang oleh Allah SWT.

Adakah kemampuan untuk bernikah terletak pada kerjaya, segulung ijazah, kereta, ataupun gaji yang lumayan?

Menurut jumhur ulama, kemampuan yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah kemampuan untuk membayar mahar (mas kahwin dan bukan hantaran). Mahar boleh di dalam pelbagai rupa. Ada sahabat yang memberikan mahar hanya dengan sebentuk cincin besi sahaja. Malah ada yang memberikan mahar di dalam bentuk surah al-Quran yang mereka hafal. Apa yang menjadi persoalan utamanya, institusi kekeluargaan itu mesti dipopularkan. Usaha untuk memudahkan pembentukan sebuah institusi kekeluargaan itu adalah satu kewajipan di dalam mana-mana komuniti. Perhubungan secara halal akan dapat mengelakkan banyak masalah sosial yang dihadapi masyarakat. Sayang sekali jika usaha pembentukan mahligai yang suci ini sentiasa dihalangi oleh batas-batas material yang kita sendiri ciptakan.

Ibn al-Qayyim pula mempunyai pentafsiran yang lebih ekstrim berhubung "kemampuan" yang disebutkan oleh hadis tersebut. Bagi beliau, kemampuan yang dimaksudkan ialah "kemampuan fizikal". Oleh yang demikian, barangsiapa yang tidak mempunyai kemampuan "fizikal" untuk menjalankan tanggung jawab sebagai suami, hendaklah mereka berpuasa untuk menjana kekuatan "dalaman". Walau bagaimanapun, ini bukanlah pendapat yang popular. Pendapat jumhur ulama mengenai kemampuan yang ditafsirkan sebagai kemampuan untuk membayar mahar merupakan pendapat yang kuat.

Penentuan mahar

Antara persoalan yang mungkin timbul lewat perbincangan mengenai mahar ialah, milik siapakah "penentuan mahar" tersebut. Adakah ianya milik si dara, ataupun bapanya. Di dalam pengamalan masyarakat Melayu dari dahulu lagi, si bapalah yang menentukan kadar mahar si gadis. Jika mereka letakkan terlalu murah, nanti ada yang megatakan, anak gadisnya terlalu murah. Jika mereka letakkan terlalu mahal, nanti ada pula yang mengatakan, mereka menjual anak. Maka adat dan harga pasaran tempatanlah yang menjadi ukuran. Apa yang penting, mahar adalah hak mutlak si bapa untuk menentukannya. Lazimnya di Malaysia, orang utara terkenal dengan mahalnya mahar, orang Pantai Timur terkenal dengan mahar yang rendah, manakala orang di tengah dan selatan mengukurnya mengikut keadaan keluarga dan juga kebiasaan saudara mara. Adakah ini bertepatan dengan Islam?

Di dalam Islam, si gadislah yang mempunyai kuasa mutlak ke atas maharnya. Si gadis mempunyai kuasa penuh untuk menentukan jumlah mahar yang beliau kehendaki. Walaupun al-Quran dan al-Sunnah tidak menghadkan harga siling untuk mahar, namun Rasululah SAW menasihatkan anak-anak gadis agar tidak meletakkan mahar yang terlampau tinggi. Gadis-gadis yang menuntut mahar yang rendah dipuji oleh Rasulullah SAW. Perkara seumpama ini tidak berlaku di Malaysia kita, malah ianya juga tidak berlaku di kebanyakan negara-negara Islam. Uruf atau adat yang banyak memainkan peranan. Si bapa yang mempunyai kuasa dominan sering berperanan untuk menentukan jumlah mahar anak-anak gadis mereka. Kebiasaannya, ianya diukur menurut jumlah kos perbelanjaan perkahwinan yang terpaksa mereka tanggung.

Isu yang cuba diketengahkan di sini ialah, adakah perletakan mahar yang tinggi sesuai untuk warga IPT?, ataupun kita terus akur dengan adat lantas menghalang anak-anak di IPT daripada berkahwin, semata-mata kerana halangan mahar yang tidak mampu untuk mereka bayar?

Berterusanlah anak-anak di IPT di dalam gelombang maksiat di atas nama coupling dan kebebasan individu.

Cara mengatasinya

Jika benar para siswa dan siswi ingin mengelakkan diri dari melakukan maksiat dan berniat untuk menghalalkan perhubungan mereka, mereka hendaklah bernikah. Itulah sahaja penyelesaiannya. Seumpama tema NOKIA, "Nokia – connecting people", kita mengatakan "NIKAH – Connecting people". Alasan yang sering diungkapkan ialah "Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin..."

Apakah tiada solusi yang praktikal di dalam hal ini?, tidak!, solusinya ada, Cuma kesungguhan yang tiada. Apakah solusinya?

1. Peranan Jabatan-jabatan agama dan pusat-pusat zakat

Salah seorang siswa pernah mengadukan kerenah birokrasi yang dihadapi beliau untuk bernikah di zaman pembelajaran. Jabatan-jabatan agama bagaikan tidak menggalakkan anak-anak IPT bernikah dengan mudah. Mungkin mereka lebih gemar untuk mengendap dan memberkas pasangan yang berkhalwat daripada menggalakkan anak-anak muda bernikah. Imam-imam dan para kadi juga nampaknya kurang "jantan" di dalam perkara ini. Majoriti mereka lebih takutkan prosedur dan juga apa yang termakstub di atas kertas berbanding dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran dan sunnah. "Saya tidak ada kuasa, nanti saya yang akan kena dakwa!", merupakan ungkapan-ungkapan yang biasa didengari dari mulut para imam dan kadi yang diminta untuk memudahkan urusan perkahwinan anak-anak muda IPT yang tidak dapat melalui proses birokrasi yang konvensional.

Pernah berlaku, seorang muallaf yang ingin bernikah tetapi tidak mendapatkan surat pengesahan masuk Islam dari negara asalnya telah dihalang daripada berkahwin oleh seorang jurunikah di ibu negara. Muallaf tersebut telah membandingkan proses perkahwinan yang jauh lebih mudah di negaranya yang kafir melalui khidmat gereja berbanding dengan proses pernikahan di Malaysia "Darul Islam" ini. Bukan sekali, sepanjang umur saya yang masih muda ini, sudah dua tiga kali para muallaf mengadukan hal yang sama. Lebih parah, ada di antara juru nikah yang tidak berani menikahkan sepasang muallaf hanya kerana tiada surat sokongan dari bapa si gadis yang bukan Islam. Mungkin gambaran ini hanya segelintir kerenah yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak muda bila berhadapan dengan kerenah birokrasi jabatan-jabatan agama dan juru nikah-juru nikah. Realitinya mungkin lebih banyak lagi masalah yang mereka hadapi. Tidak hairanlah mereka mengambil jalan yang mudah, iaitu dengan berzina atau bersekedudukan mahupun berpacaran yang jauh lebih mudah. Malangnya, di dalam kes mengendap dan mencekup pasangan yang berzina dan berkhalwat, personel-personel agama ini akan beriskap pro-aktif!

Sewajarnya jabatan-jabatan agama dan personel-personel agama ini memudahkan proses perkahwinan anak-anak muda. Lebih baik lagi jika disediakan satu pakej perkahwinan IPT di mana prosesnya dimudahkan dan diberikan bonus serta saguhati. Bukankah di dalam usul al-fiqh ada kaedah "fath al-dharai'" (membuka jalan-jalan kebaikan). Bukankah juga kaedah fiqh juga ada yang mengatakan "al-wasilah yak hudhu hukmu al-ghayah" (hukum kepada jalan yang membawa kepada sesuatu perkara adalah mengikut hukum matlamatnya). Rasulullah SAW juga ada bersabda: "Penunjuk jalan kebaikan akan mendapat pahala seperti pembuatnya".

Jabatan-jabatan agama juga sepatutnya tidak hanya mengadakan kursus-kursus perkhawinan, tetapi juga hendaklah menganjurkan kursus "promosi perkahwinan" dan juga "karnival nikah" seperti karnival membeli belah. Eksperiman Jabatan Agama Wilayah menganjurkan perkahwinan beramai-ramai patut dicontohi oleh semua jabatan agama di seluruh Malaysia. Pusat zakat juga sepatutnya bekerjasama dengan jabatan-jabatan agama agar dapat mengurangkan beban mahar yang terpaksa ditanggung oleh pasangan-pasangan muda ini. Upacara perkahiwnan beramai-ramai ataupun "karnival nikah" ini juga sepatutnya dijadikan upacara penarik pelancong. Laksanakan ia di Dataran Merdeka ataupun di dataran KLCC agar ianya benar-benar dijadikan sebagai karnival. Biarlah seluruh negeri melakukannya, biarlah ianya menjadi lebih hebat dari "Jom Heboh". Rasanya, kerjasama TV3 juga perlu, mungkin mereka juga boleh menjadikannya sebagai acara "Nikah Heboh". Karnival tersebut jangan hanya diserikan dengan acara nikah dan makan sahaja, tetapi pameran, forum perdana, ceramah, persembahan nasyid dan sketsa serta jualan murah barang-barang keperluan harian untuk keluarga juga patut dijadikan acara sampingan.

2. Peranan IPT

Jika ada IPT yang hendak diberikan penghormatan mengenai usaha menggalakkan perkahwinan para penuntutnya, markah yang penuh wajar diberikan kepada UIAM. Semenjak dahulu lagi UIAM menggalakkan siswa dan siswi bernikah dengan memberikan saguhati kepada mereka. Mungkin jumlah yang diberikan itu tidak lah dapat menampung sepenuhnya mahar yang tinggi di Malaysia, namun ianya akan dapat menampung serba sedikit bebanan itu. Diharapkan agar saguhati yang diberikan itu dapat digandakan di masa-masa hadapan demi mengurangkan gejala maksiat di kalangan siswa dan siswi yang kini tidak mengenal sempadan. IPT-IPT lain juga wajar mencontohi UIAM di dalam hal ini.

IPT-IPT juga wajar menganjurkan karnival nikah untuk mengurangkan perbelanjaan kenduri kahwin oleh para pasangan muda. Jadikan ia acara tahunan. Pusat zakat juga boleh memainkan peranan mereka untuk membantu IPT-IPT di dalam menjayakan hal ini. Saguhati atau bonus juga sepatutnya diberikan kepada pasangan-pasangan yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan mereka. Sebagai contoh, mereka yang mendapat CGPA melebihi 3.5, bonus daripada HEP akan diberikan. Melalui cara yang sedemikian, masalah penurunan prestasi belajar siswa dan siswi yang telah berkahwin akan dapat diatasi. Blok asrama untuk kelamin juga wajar diwujudkan untuk mengurangkan kos sewa rumah di kalangan pasangan-pasangan muda di IPT.

Yakinlah, jika perkara seperti ini tidak dilakukan, gejala maksiat akan semakin berleluasa di masa hadapan. Lebih ditakuti lagi, apabila maksiat sudah dipandang biasa dan sudah menjadi norma. Pada waktu itu, masyarakat yang wujud akan menjadi masyarakat yang bobrok serta punah. Jika IPT-IPT tidak mengambil inisiatif pun, akan sentiasa terdapat pasangan siswa dan siswi yang akan menggunakan cara lain untuk bernikah. Kelazimannya, Golok akan menjadi destinasi terkahir mereka untuk menghalalkan perhubungan cinta yang sudah tidak dapat dibendung dan dihalang.

3. Simpanan khas

Para siswa dan siswi tidak sewajarnya hanya mengharapkan pihak lain melakukan sesuatu sahaja. Mereka perlu bersikap pro aktif. Para siswa dan siswi sepatutnya telah mula merancang kehidupan mereka di masa hadapan semenjak hari mereka mengakhiri peperiksaan SPM. Satu akaun khas untuk kehidupan masa depan wajib diusahakan. Pastikan sejumlah daripada segala pendapatan bulanan dimasukkan ke dalam akaun khas tersebut. Lebih baik jika ianya dimulakan lebih awal daripada itu. Bukan hanya pihak siswa sahaja, malah pihak siswi pun sepatutnya juga mempunyai usaha yang sama. Pastikan segala duit perolehan hasil durian runtuh juga dimasukkan ke dalam akaun khas berkenaan. Usaha sebegini akan memberikan keyakinan kepada ibubapa bahawa anak-anak mereka sudah matang dan mempunyai wawasan.

Kebiasaannya ibubapa ragu-ragu tentang kematangan anak-anak. Mereka masih lagi risaukan tahap pemikiran dan kematangan anak-anak mereka. Turut silap juga ialah anak-anak juga yang tidak menunjukkan kesungguhan dan kematangan. Para ibubapa tidak dapat melihat bukti yang anak-anak mereka benar-benar mampu untuk berdikari. Perkara sebaliknya jika mereka mendapati anak-anak tersebut telah mempunyai perancangan dan mempunyai wawasan. Kematangan anak-anak akan segera dapat dihidu. Amat mengecewakan ramai di kalangan siswa dan siswi yang ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai perancangan yang teliti dan boleh dipercayai. Lebih mengharukan lagi jika mereka hanya beriya-iya hendak kahwin di mulut sahaja, tetapi tidak bersikap matang di dalam tindakan. Di dalam hal ini jangan dipersalahkan ibubapa yang bersikap konservatif, salahkan diri sendiri dahulu. Moralnya, mulalah mengumpul duit dari sekarang!

4. Pendapatan sampingan

Di pasaran kini, buku-buku mengenai mencari duit tambahan akan laku seperti goreng pisang panas. Buku-buku karangan Robert Kiyosaki, Azizi Ali, dan lain-lain tokoh dalam dan luar negara menjadi "best seller". Mengapa?, kerana tuntutan hidup di era globalisasi ini memaksa kita mencari pendapatan sampingan. Begitu juga halnya dengan para siswa dan siswi. Apabila disebutkan pendapatan sampingan, jangan hanya terbayangkan restoran-restoran makanan segera sahaja. Zaman kini adalah zaman "outsourcing". Kebanyakan projek-projek yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat besar akan dibahagi-bahagikan kerjanya kepada syarikat-syrikat kecil yang lain. Bagi sesiapa yang pandai di dalam bidang grafik, reka bentuk, media, multimedia, peluang untuk mendapatkan pendapatan sampingan sentiasa terbuka luas. Hanya perlu rajin lebi sedikit sahaja.

Bagi yang pandai menulis dan melukis, mereka juga boleh menggunakan bakat tersebut untuk menjana pendapatan. Penjualan buku-buku, terutamanya novel dan cerpen kini menjadi begitu popular. Terokailah ia untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Bagi yang tidak mampu untuk melakukan perkara-perkara yang telah disebutkan di atas, ruang motivasi, tiusyen, dan banyak lagi kerja-kerja akademik yang boleh mereka lakukan. Bagi sesiapa yang lebih rajin, carilah pensyarah-pensyarah yang sedang melakukan pengkajian dan juga penyelidikan. Kebiasaannya para pensyarah tidak akan cukup dengan seorang pembantu kajian (research assistant). Tawarkan khidmat anda, mereka pasti akan gembira untuk mengupah anda bekerja. Peluang perniagaan melalui khidmat-khidmat juga ruang yang boleh dieksplorasi oleh para siswa. Terdapat juga di kalangan siswa dan siswi yang terlibat dengan perniagaan MLM, tetapi risikonya tinggi. Perkara yang sering berlaku ialah waktu mereka akan dihabiskan dengan banyak untuk tujuan berkenaan. Mungkin perniagaan insurans lebih ringan daripada MLM.

Apa yang penting di sini, para siswa dan siswi hendaklah mula mengumpul duit untuk berkahwin melalui pendapatan sampingan. Usaha ini akan membantu para siswa dan siswi membina keyakinan di hati para ibubapa. Jikalaulah mereka beralasan anak-anak tidak mampu lagi untuk berkahwin kerana kelemahan di bidang material, maka jika siswa dan siswi tadi sudahpun mempunyai pendapatan sampingan, mereka akan mati hujah. Pengalaman mencari duit di alam kampus juga akan membantu para siswa dan siswi di dalam alam kerjaya mereka. Mereka akan menjadi lebih berdikari, berpengalaman dan lebih berkeyakinan untuk menempuhi kehidupan pasca kampus. Jika mereka ikhlas, Allah akan sentiasa membantu. Apatah lagi jika kerja-kerja itu dilakukan untuk menyahut seruan Allah dan RasulNya.

Kesimpulan

Tiada masalah yang Allah berikan kecuali di sana ada jalan penyelesaiannya. Di sebalik semua ujian dan cabaran ada hikmahnya. Kelebihan anak-anak Adam yang tiada pada makhluk lain adalah akalnya. Lontaran ide-ide di dalam artikel ini hanyalah sebahagian dari cetusan minda seorang pendidik. Para siswa dan siswi tentunya lebih kreatif dan lebih mengetahui hal keadaan mereka. Seperkara yang penting, para siswa dan siswi Muslim harus sedar tujuan kehidupan kita diciptakan. Kemuncak kehidupan seorang hamba ialah jika mereka dapat memastikan setiap detik dan saat di dalam kehidupannya berlandaskan syariat Allah. Pastikan juga redha dan juga cinta Allah yang menjadi buruan. Pernikahan adalah sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan keredhaan Allah dan RasulNya. Perkahwinan juga merupakan wasilah untuk seorang hamba menjauhi larangan Allah. Perkahwinan juga akan dapat membantu para hamba untuk melalui setiap langkah di dalam hidupnya di atas naungan kecintaan Allah. Mengapa bertangguh lagi?, ayuh segera mulakan langkah!

Rabu, 9 Januari 2008

Dunia dan Wanita berpurdah

Dunia & Wanita Berpurdahwww.iLuvislam.comdihantar oleh: sprstr_saff


Suatu kisah... Kisah ini berlaku sewaktu aku di Madinah. Suatu hari aku berjalan melalui pasar. Sebaik saja muazzin melaungkan azan, aku terlihat seorang wanita. Wanita itu ganjil cantiknya. Dia berpaling kepadaku seolah-olah tahu bahawa aku merenungnya. Malah dia memberikanku anggukan kecil penuh bermakna sebelum wanita itu berpusing di satu sudut menuju ke lorong penjual sutera.
Bagaikan terkena panahan halilintar, aku serta-merta tertarik, hatiku terpukau dengan wanita itu. Dalam kepayahan aku berdebat dengan hatiku, memberikan satu demi satu alasan untuk meneruskan langkahku ke masjid memandangkan masanya telah tiba untuk solat, namun perdebatan ternyata gagal. Aku memutuskan untuk mengikut wanita tersebut.
Aku bergegas mengejar wanita itu, nafasku pantas dan mengah manakala wanita itu tanpa disangka mempercepatkan langkahnya. Dia telah berada jauh beberapa kedai di hadapan. Dia memaling wajahnya seketika padaku, terasa kudapat melihat cahaya senyuman nakal wanita itu dibalik purdah hitamnya. "Adakah ini khayalanku sahaja?" bisik hatiku. Akalku seolah-olah tidak berfungsi pada waktu itu."Siapakah wanita itu?" Aku memantaskan langkahku dan memasuki lorong dimana wanita itu dilihatku masuk. Dan seterusnya wanita itu mengimbau aku, sentiasa dihadapan, masih tidak dapat dikejar, semakin jauh dan jauh dari mana kami mula-mula bersua. Perasaanku tambah membuak. "Adakah wanita itu orang gila?"Semakin jauh nampaknya wanita itu berjalan hingga ke penghujung bandar. Mentari turun dan tenggelam, dan wanita tersebut masih berada jauh di hadapanku. Sekarang, kami berada di tempat yang tidak disangka, sebuah perkuburan lama.
Kalaulah aku siuman seperti biasa, pasti aku akan merasa gementar, tapi aku terfikir, tempat yang lebih ganjil dari ini biasa dijadikan tempat pasangan kekasih memadu asmara. Dalam 60 langkah di antara kami aku melihat wanita itu memandang ke arahku, menunjuk arah, kemudian turun ke tangga dan melalui pintu bangunan sebuah kubur tua. Kalaulah aku tidak diamuk senyuman wanita itu tadi, pasti aku berhenti sebentar dan memegun masa, tapi sekarang tiada guna berpaling arah, aku menuruni tangga tersebut dan mengekori wanita itu ke dalam bangunan kubur itu. Di dalam bilik bangunan kubur itu, kudapati wanita itu duduk di atas ranjang yang mewah, berpakaian serba hitam masih berpurdah, bersandar pada bantal yang diletak pada dinding, diterangi cahaya lilin pada dinding bilik itu. Di sebelah ranjang itu, aku terpandang sebuah lubang perigi. "Kuncikan pintu itu," kata wanita itu, dengan suara yang halus gemersik seumpama berbisik, "dan bawakan kuncinya. " Aku akur. "Buangkan kunci tersebut ke dalam perigi itu," kata wanita itu. Aku tergamam sebentar, kalaulah ada saksi di situ, pasti saksi itu dapat melihat gamamku. "Buang-lah," ujar wanita itu sambil ketawa, "tadi kau tidak berfikir panjang untuk meninggalkan solatmu untuk mengekoriku kemari?" Tempelak wanita itu lagi. Aku diam. "Waktu maghrib sudah hampir selesai," kata wanita itu bernada sedikit menyindir . "Apa kau risaukan? Pergilah buangkan kunci itu, kau mahu aku memuaskan nafsumu, bukan?" Aku terus membuang kunci pintu tersebut ke dalam perigi, dan memerhatikan kunci itu jatuh.
Perutku terasa bersimpul tatkala tiada bunyi kedengaran ketika kunci itu jatuh ke dalam lantai perigi. Aku berasa kagum, kemudian takut. "Tiba masanya untuk melihat aku," kata wanita tersebut, dan dia mengangkat purdahnya untuk mendedahkan wajah sebenarnya. Bukan wajah segar seorang gadis remaja, tapi kehodohan wajah yang mengerikan, jijik, hitam dan keji, tanpa satu zarah cahaya kelihatan pada alur kedut ketuaannya. " Pandang aku sungguh-sungguh," kata wanita itu lagi. "Namaku Dunia. Aku kekasihmu. Kau habiskan masamu mengejarku , sekarang kau telah memiliki diriku . Didalam kuburmu. Mari. Mari." Kemudian wanita itu ketawa dan ketawa, sehingga dia hancur menjadi debu, dan lilin itu padam satu demi satu, dan kegelapan menyelubungi suasana.-------------------------------

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud:"Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.' "